Presiden Lubnan minta bantuan AS henti serangan Israel - Utusan Malaysia

Presiden Lubnan minta bantuan AS henti serangan Israel

SEBUAH bangunan rosak akibat serangan Israel di selatan Lubnan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Presiden Lubnan, Joseph Aoun menggesa Washington dan masyarakat antarabangsa membantu menghentikan serangan Israel selepas serangan pada Ahad mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang walaupun gencatan senjata serta perjanjian antara rejim Zionis dengan Lubnan telah dicapai.

Dalam peningkatan ketegangan terbaru, Israel berkata, pihaknya menyasarkan anggota dan lokasi Hizbullah sebagai tindak balas terhadap serangan dron sehari sebelumnya oleh kumpulan yang disokong Iran itu terhadap tenteranya di kawasan rabung strategik di selatan Lubnan.

Israel melaporkan tiada anggota tenteranya terkorban atau cedera tetapi menuduh Hizbullah melakukan pelanggaran terang-terangan.

Israel pada minggu ini berkata tenteranya telah menguasai rabung Ali al-Taher di kawasan Nabatieh, yang dianggapnya sebagai sebahagian daripada zon keselamatan yang diisytiharkan sendiri di selatan Lubnan.

Hizbullah, yang tidak mendakwa bertanggungjawab atas sebarang serangan sejak beberapa minggu lalu, belum mengulas pengisytiharan Israel mengenai penguasaannya ke atas lokasi berkenaan.

Aoun berkata, serangan pada Ahad, yang merosakkan premis kerajaan dan memusnahkan sebuah hospital yang tidak lagi beroperasi, merupakan peningkatan ketegangan yang berbahaya sehingga menjejaskan institusi negara Lubnan serta kemudahan kesihatan.

Beliau menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya AS  yang menjadi penaja rundingan langsung antara Israel dan Lubnan serta perjanjian rangka kerja antara kedua-dua pihak pada Jun supaya bertindak segera untuk menghentikan pelanggaran ini. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×