JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki yang mengugut dan meminta ganti rugi daripada seorang pemandu wanita selepas mendakwa motosikalnya dilanggar seperti yang tular dalam satu rakaman di media sosial.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, suspek berusia 38 tahun itu ditahan pada pukul 1.20 pagi semalam di Taman Universiti, Skudai.
Katanya, tangkapan dibuat susulan laporan yang diterima daripada seorang wanita tempatan berusia 30 tahun pada pukul 12.49 tengah hari, Jumaat lalu.
“Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi, suspek yang menunggang motosikal di Taman Universiti mendekati mangsa sebelum mendakwa mangsa telah melanggar motosikalnya hingga berlaku pertengkaran.
“Menyedari kehadiran seorang lelaki di lokasi berkenaan, wanita tersebut kemudian bertindak membunyikan hon kenderaannya, menyebabkan kedua-dua suspek melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Radin Ramlan memberitahu, suspek lelaki tempatan yang ditahan itu kini direman selama empat hari sehingga Selasa ini, manakala semakan mendapati suspek mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan dan Seksyen 341 kanun sama kerana melakukan halangan salah. Usaha mengesan seorang lagi suspek sedang dipergiatkan,” katanya.-UTUSAN










