Jerebu paksa empat acara Para SUKMA ditangguh hari ini

Jerebu paksa empat acara Para SUKMA ditangguh hari ini

JEREBU masih jelas kelihatan di sekitar ibu negara. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Empat acara Para Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 yang dijadual berlangsung hari ini terpaksa ditangguhkan susulan keadaan jerebu yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada paras tidak sihat 169 sehingga tengah hari.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, keputusan berkenaan dibuat Jawatankuasa Pengelola SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026 selepas mengambil kira pandangan pihak berkuasa berkaitan kesihatan dan alam sekitar.

“Keputusan ini dibuat selepas kami menerima nasihat daripada Jabatan Alam Sekitar Malaysia (JAS), Jabatan Kesihatan Negeri Selangor serta jawatankuasa khas teknikal yang sentiasa memantau perkembangan keadaan jerebu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, bacaan IPU di sekitar Shah Alam dan Klang pada jam 12 tengah hari menunjukkan keadaan tidak sihat, sekali gus memaksa pihak penganjur menangguhkan beberapa acara yang sepatutnya berlangsung hari ini.

“Acara yang terkesan ialah Para olahraga di Stadium Universiti Teknologi MARA (UiTM), Para renang di Kompleks Akuatik Selangor, Para memanah di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Selangor (Kombes) serta boling padang di Bayuemas, Klang,” katanya.

Mohd Najwan yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026 berkata, keselamatan dan kesihatan atlet serta semua pihak yang terbabit menjadi keutamaan penganjur dalam membuat keputusan tersebut.

Beliau berkata, perkembangan mengenai tarikh baharu bagi acara yang ditangguhkan akan dimaklumkan secara berperingkat berdasarkan perubahan bacaan IPU di lokasi pertandingan.

“Pemakluman mengenai penangguhan dan pelaksanaan semula acara akan dibuat dari semasa ke semasa bergantung kepada keadaan IPU di kawasan pertandingan,” katanya.

Para SUKMA Selangor 2026 berlangsung dari 5 hingga 14 September ini, dengan jadual pertandingan kini turut dipengaruhi keadaan kualiti udara di beberapa lokasi pertandingan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×