Suspek kes dadah maut ditembak

Suspek kes dadah maut ditembak

KENDERAAN Jabatan Forensik Polis menjalankan siasatan di sebuah rumah di Taman Garden Homes, Seremban 2, Seremban, hari ini. - UTUSAN / NOR SHAFIQAH MOHD GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang suspek dipercayai terlibat kes dadah, maut ditembak dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Garden Homes, Seremban 2, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.50 petang dan pihaknya mengesahkan seorang lelaki maut dalam kejadian tersebut.

Menurutnya, kes berkenaan masih dalam siasatan dan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes dadah.

“Ya, saya sahkan kejadian tembakan tersebut berlaku kira-kira pukul 1.50 petang tadi. Seorang lelaki maut. Kita masih lagi menyiasat kes ini dan ia dipercayai bersabit dengan kes dadah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alzafny berkata, sidang media berhubung kejadian itu akan dibuat oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban pada pukul 11.45 pagi esok.

“Orang ramai dinasihatkan supaya bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk dikenali sebagai Pak Cik Ali berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan jirannya.

“Lepas solat, pakcik keluar dan jiran beritahu ada kejadian di hujung rumah. Jiran pakcik kata ada dengar tembakan, tetapi pakcik tak dengar sebab berada dalam rumah,” katanya.

Menurutnya, sebaik menyedari kejadian itu, dia melihat beberapa kenderaan polis berada di kawasan berkenaan, manakala kawasan padang turut dipasang garisan polis.

Katanya, kejadian itu kali pertama berlaku berhampiran kediamannya dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk.

“Kita pun bimbang tentang keselamatan, mungkin takut kejadian berulang di tempat lain pula,” katanya.

Pak Cik Ali mendakwa pernah melihat empat kenderaan mencurigakan diletakkan berhampiran rumahnya pada waktu malam minggu lalu.

“Keesokannya, kereta yang sama berada di hadapan rumah, terus saya buat laporan polis. Selepas polis sampai, kereta-kereta itu terus pergi dan tiada lagi kenderaan seperti itu dilihat di kawasan ini,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×