Dua vesel ditahan, 41 kru termasuk 37 warga asing dicekup

Dua vesel ditahan, 41 kru termasuk 37 warga asing dicekup

VESEL nelayan ditahan Maritim Malaysia bersama 41 kru termasuk 37 warga asing dalam tangkapan berasingan di Perairan Pulau Pangkor, Lumut Jumaat lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Seramai 41 kru termasuk 37 warga asing ditahan selepas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menahan dua vesel nelayan tempatan (VNT) di dua lokasi berasingan di perairan Pulau Pangkor di sini, Jumaat lalu

Pengarah Maritim Malaysia Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, tangkapan dibuat hasil rondaan Kapal Maritim (KM) NUSA yang giat mengawal perairan berkenaan.

Katanya, dalam tangkapan pertama, sebuah VNT kelas C2 ditahan selepas didapati menjalankan aktiviti perikanan kurang 15 batu nautika dari daratan selain tidak menghidupkan alat pengesan vesel.

“Seramai 25 kru berusia antara 22 hingga 56 tahun ditahan dalam operasi itu termasuk seorang tekong dan seorang kru warga tempatan.

“Turut ditahan 23 kru warga Kemboja kerana gagal mengemukakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah serta disyaki tinggal lebih masa di Malaysia,” katanya di sini hari ini.

Mohamad Shukri berkata, dalam kes berasingan, pihaknya menahan sebuah VNT kelas C bersama 16 kru termasuk tekong berusia antara 22 hingga 69 tahun.

Katanya, daripada jumlah itu, 14 kru warga Kemboja dan Thailand ditahan kerana gagal mengemukakan PLKS yang sah.

“Kesemua kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti
perikanan kurang 15 batu nautika dari daratan dan tidak menghidupkan dan memasang alat pengesan vesel.

“Selain itu, mereka juga disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan PLKS yang sah,” katanya.

Tambah beliau, kesemua kru warga asing ditahan untuk siasatan lanjut manakala kedua-dua bot, hasil tangkapan dan peralatan perikanan dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×