Berang TV dipasang kuat, warga emas mabuk tetak isteri guna parang - Utusan Malaysia

Berang TV dipasang kuat, warga emas mabuk tetak isteri guna parang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Hanya kerana berang televisyen dipasang terlalu kuat, seorang lelaki warga emas bertindak luar kawalan apabila menetak tangan kanan isterinya menggunakan sebilah parang di Taman Desa Sejahtera, di sini malam tadi.

Difahamkan, suspek yang berada di bawah pengaruh alkohol bertindak sedemikian selepas berlaku perselisihan faham antara mereka pada pukul 9.30 malam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam sebelum polis dikejarkan ke lokasi.

“Polis berjaya menahan suspek yang juga suami mangsa. Kedua-dua mereka berusia dalam lingkungan 70-an.

“Siasatan mendapati kejadian berpunca daripada pertengkaran akibat bunyi televisyen yang kuat. Suspek yang mabuk menetak mangsa sebanyak satu kali,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Yusof, akibat tetakan itu, mangsa mengalami luka kecil berukuran kira-kira satu sentimeter pada bahagian tangan kanan, dan dikejarkan ke Hospital Kota Tinggi bagi mendapatkan rawatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×