Berguru dengan guru atau teknologi?

Berguru dengan guru atau teknologi?

BERGURU mengajar manusia supaya sedar bahawa ilmu bukan sekadar kumpulan fakta tetapi suatu proses membentuk fikiran, sikap dan keperibadian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA zaman dahulu, seseorang perlu berjalan jauh, merantau dan menunggu bertahun-tahun untuk berguru dengan orang yang alim atau mahir dalam sesuatu bidang. Hari ini, ilmu kelihatan seolah-olah berada di hujung jari.

Dengan satu carian di internet, ribuan maklumat dapat diperoleh dalam beberapa saat. Kehadiran media sosial, video pembelajaran dan kecerdasan buatan (AI) pula menjadikan proses pencarian maklumat semakin mudah.

Namun begitu, mudah memperoleh maklumat tidak semestinya bermaksud mudah memperoleh ilmu. Maklumat boleh ditemukan melalui skrin tetapi ilmu memerlukan pemahaman, pertimbangan dan bimbingan.

Seseorang boleh menemui pelbagai maklumat tetapi tanpa bimbingan, belum tentu semuanya mampu difahami, dinilai dan dijadikan ilmu yang benar-benar bermanfaat. Di sinilah pentingnya berguru sebelum seseorang keluar berburu ilmu.

Dalam dunia digital, adab berguru menjadi semakin penting. Pelajar hari ini boleh memperoleh jawapan segera daripada enjin carian atau aplikasi AI.

Keadaan ini mungkin menimbulkan tanggapan bahawa guru tidak lagi diperlukan kerana hampir semua soalan boleh dijawab oleh teknologi.

Hakikatnya, teknologi boleh memberikan jawapan tetapi tidak semestinya memahami keperluan seseorang pelajar. Teknologi tidak mengetahui bila pelajar sedang keliru, hilang keyakinan atau hanya menghafal tanpa memahami.

Guru pula boleh melihat perubahan pada wajah, mendengar keraguan dalam suara dan menyesuaikan penerangan berdasarkan keadaan pelajar.

Lebih penting lagi, guru membantu pelajar bertanya soalan yang betul. Dalam lambakan maklumat, cabaran sebenar bukan lagi sekadar mencari jawapan tetapi menentukan sama ada jawapan itu tepat, beretika dan sesuai digunakan.

Guru membimbing pelajar supaya tidak menjadi pengguna maklumat yang pasif sebaliknya mampu menilai, membandingkan dan membuat pertimbangan.

Oleh itu, teknologi tidak sepatutnya menggantikan proses berguru. Teknologi perlu menjadi alat yang membantu guru dan pelajar dalam perburuan ilmu. Guru memberikan arah manakala teknologi meluaskan jalan penerokaan.

Dalam hubungan antara guru dengan pelajar, kedua-duanya mempunyai tanggungjawab. Guru perlu terus meningkatkan ilmu, memahami perubahan zaman dan membimbing dengan kebijaksanaan.

Pelajar pula perlu hadir dengan kesediaan untuk belajar, menghormati proses pembelajaran dan tidak mudah berasa bahawa segala-galanya sudah diketahui hanya kerana maklumat mudah dicapai.

Berguru mengajar manusia supaya sedar bahawa ilmu bukan sekadar kumpulan fakta tetapi suatu proses membentuk fikiran, sikap dan keperibadian.

Kejayaan pelajar sering diraikan melalui keputusan peperiksaan, sijil dan pencapaian kerjaya.

Namun, di sebalik kejayaan tersebut, biasanya terdapat guru yang pernah mengajar cara membaca, mengira, berfikir, bertanya dan bangkit daripada kegagalan.

Nama guru mungkin tidak tercatat pada sijil kejayaan pelajar tetapi sebahagian daripada usaha dan nasihat mereka terus hidup dalam diri setiap insan yang pernah dibimbing.

Berburu ilmu ialah perjalanan sepanjang hayat. Dalam perjalanan itu, kita mungkin berguru dengan ramai orang, sama ada guru di sekolah, pensyarah, ibu bapa, rakan, tokoh atau individu yang mempunyai pengalaman lebih luas.

Setiap daripada mereka mungkin menunjukkan jalan yang berbeza tetapi adab terhadap ilmu dan orang yang menyampaikannya perlu tetap sama.

Sebelum melangkah jauh berburu ilmu, belajarlah untuk berguru. Hormati orang yang membimbing, bersabarlah ketika ditegur dan bersungguh-sungguh ketika diberi peluang belajar.

Ilmu yang dicari dengan usaha akan memberikan pengetahuan tetapi ilmu yang diperoleh dengan adab akan membentuk kebijaksanaan. – UTUSAN

SYED AZMAN SYED ISMAIL
Pelajar pascasiswazah,
Fakulti Pendidikan UKM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×