PETALING JAYA: Skuad hoki wanita remaja negara terus berdepan mimpi ngeri apabila dibelasah India 11-1 dalam aksi kedua Kumpulan Elit Piala Remaja Asia Wanita 2026 di Moqi, China, sebentar tadi.
Kekalahan itu hadir hanya sehari selepas Young Tigress tewas 1-6 kepada China, sekali gus menyaksikan anak buah Nasihin Nubli Ibrahim bolos 17 gol dalam dua perlawanan pertama.
India memulakan pesta gol seawal minit pertama menerusi pukulan stroke Sahoo Puja sebelum Yadav Purnima menggandakan kelebihan tiga minit kemudian melalui pukulan sudut penalti.
Malaysia terus gagal membendung asakan lawan apabila India menambah lima gol lagi menerusi Dhan Binima, Sharma Krishna, Yadav Purnima, Sukhveer Kaur dan Yadav Geeta untuk mendahului 7-0 selepas 28 minit.
Young Tigress akhirnya memperoleh gol sulung menerusi pukulan sudut penalti Nur Qaisara Qistina Mohd Khairi pada minit ke-38, namun India kembali mengganas dengan empat lagi gol untuk melengkapkan kemenangan besar 11-1.
Sahoo meledak gol keduanya menerusi pukulan stroke pada minit ke-42 sebelum Mane Sanika Chandrakant, Yadav Geeta dan Mane sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring bagi melengkapkan pesta gol India.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia kini mencatat dua kekalahan daripada dua aksi, dengan hanya dua gol dijaringkan setakat ini ketika berdepan India selepas sebelum ini turut dibelasah China 1-6.
Piala Remaja Asia 2026 kekal menjadi medan penting buat skuad yang dibarisi tujuh pemain berusia 16 tahun itu untuk membuktikan potensi masa depan hoki wanita negara, dengan sasaran utama memburu satu daripada lima tiket ke Piala Dunia Hoki Remaja 2027.
Untuk rekod, pencapaian terbaik skuad negara dalam saingan Piala Asia ini sekadar di tempat kelima dan belum pernah menembusi kelompok empat terbaik kejohanan. – UTUSAN










