ISKANDAR PUTERI: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim diumumkan sebagai wakil khas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk menjaga hal ehwal masyarakat Orang Asli di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan perkara itu ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Sukan Orang Asli (KSOA) Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Kompleks Sukan EduCity, di sini hari ini.
“Dengan perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim, kita ada pegawai khas baharu iaitu Marina Ibrahim.
“Bersama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar, Md. Israk Abdullah, Marina akan menjaga kebajikan orang asli melalui Yayasan Sultan Ibrahim,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya menjunjung kasih keprihatinan Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail terhadap kebajikan masyarakat Orang Asli di negeri ini.
“Menjunjung kasih Tuanku kerana keprihatinan melantik pegawai khas mewakili Tuanku yang akan menjaga hal ehwal Orang Asli bagi pihak Tuanku sendiri.
“Saya tahu, sekali bekas wakil rakyat, Marina akan santuni permasalahan dihadapi masyarakat Orang Asli di negeri ini. Saya yakin dengan kemampuan dan pengalaman beliau. Mudah-mudahan kombinasi antara Md. Israk dan Marina akan beri lebih manfaat kepada golongan sasar,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Pada 31 Mei lalu, Marina mengumumkan untuk tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.-UTUSAN










