Penyatuan mesti manfaatkan rakyat, negara

Penyatuan mesti manfaatkan rakyat, negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA Pas dan UMNO mula bercakap mengenai penyatuan ummah menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), tidak salah jika rakyat bertanya satu soalan yang sangat mudah: Penyatuan untuk siapa? Untuk rakyat atau untuk kuasa?

Soalan ini penting kerana rakyat sudah terlalu lama menjadi penonton kepada drama politik yang sama. Setiap kali parti-parti Melayu berpecah, rakyat diseru supaya bersatu. Tetapi apabila pemimpin sendiri bertelagah, berebut pengaruh dan jawatan, rakyat pula diminta memahami bahawa itu adalah sebahagian daripada politik.

Jika benar Pas dan UMNO mahu menyatukan ummah, maka penyatuan itu mesti lebih besar daripada sekadar formula untuk menambah kerusi Parlimen. Ia mesti mempunyai tujuan yang lebih mulia daripada menukar siapa yang duduk di Putrajaya.

Kalau akhirnya penyatuan itu hanya untuk mendapatkan kuasa, rakyat berhak berkata: Apa bezanya dengan pakatan politik yang lain?

Kuasa bukan dosa. Dalam demokrasi, mendapatkan kuasa melalui mandat rakyat adalah sah. Tetapi kuasa tanpa tujuan yang benar hanya akan melahirkan satu lagi kerajaan yang sibuk mempertahankan kuasa, bukan mempertahankan rakyat.

Sebab itu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, pada pertemuan dengan Utusan Malaysia semalam menekankan bahawa apa-apa penyatuan mesti bermula dengan keikhlasan.

Ikhlas bermaksud bersedia mengalah apabila perlu, bersedia berkongsi apabila menang, bersedia menerima kritikan, bersedia mengakui kesilapan dan yang paling sukar, bersedia meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan parti sendiri.

Adakah parti-parti yang bercakap tentang penyatuan ini benar-benar bersedia untuk ikhlas bersatu demi kepentingan rakyat dan negara?

Itulah persoalan yang lebih besar daripada sekadar siapa akan bertanding di kawasan mana atau siapa yang akan menjadi calon Perdana Menteri.

Sejarah politik Malaysia sudah menunjukkan bahawa masalah terbesar bukan kekurangan parti Melayu, tetapi terlalu banyak tenaga dihabiskan untuk berperang sesama sendiri.

Jika penyatuan UMNO-Pas mampu menghasilkan dasar yang lebih baik untuk orang Melayu, itu sesuatu yang wajar dihargai. Jika ia mampu mengurangkan kemiskinan, memperkukuh pendidikan, meningkatkan pendapatan, membantu usahawan kecil dan memperbaiki kedudukan ekonomi rakyat, maka rakyat mempunyai sebab untuk menyokongnya.

Tetapi jika penyatuan itu hanya menghasilkan perebutan jawatan, pembahagian kawasan dan rundingan kuasa, rakyat juga mempunyai hak untuk menolaknya.

Lebih penting, istilah penyatuan ummah tidak boleh digunakan sebagai lesen untuk memecahbelahkan rakyat mengikut kaum dan agama.

Malaysia bukan hanya milik UMNO. Malaysia bukan hanya milik Pas. Malaysia bukan hanya milik orang Melayu atau orang Islam. Malaysia milik semua rakyatnya.

Maka penyatuan Melayu dan Islam yang mahu dijadikan asas politik negara mesti akhirnya membawa manfaat kepada seluruh rakyat. Ia harus menjadi jambatan, bukan tembok. Ia mesti memberikan keyakinan kepada masyarakat bukan Melayu bahawa penyatuan tersebut bukan ancaman kepada mereka.

Jika tidak, penyatuan itu hanya akan menghasilkan satu lagi politik ketakutan. Dan rakyat sudah cukup letih dengan politik ketakutan. Yang mereka mahukan adalah politik penyelesaian.

Aznan Bakar adalah Pemangku Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd. – UTUSAN

×