Malaysia, Thailand bincang keselamatan selatan Thailand

Malaysia, Thailand bincang keselamatan selatan Thailand

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Malaysia mengadakan perbincangan bersama Thailand bagi memperkukuh keselamatan dan keamanan selatan negara itu sempena lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri, Sihasak Phuangketkeow selama dua hari bermula esok.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan Thailand memberi penghormatan kepada Malaysia untuk bertindak sebagai fasilitator dalam rundingan membabitkan pihak-pihak berkepentingan bagi mencari jalan terbaik memastikan keamanan di wilayah berkenaan.

Katanya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Sihasak yang juga Menteri Luar pada Isnin ini yang diberi mandat oleh kerajaan Thailand untuk berunding dengan Malaysia mengenai usaha memperkukuh keselamatan dan keamanan di Selatan Thailand.

“Kita merupakan negara yang diberi penghormatan oleh Thailand untuk menjadi fasilitator dan berunding dengan pihak-pihak yang berkenaan.

“Seorang fasilitator baharu telah dilantik dan Isnin ini saya akan berbincang dengan rakan sejawat saya, Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow, yang diberi mandat sepenuhnya oleh kerajaan Thailand untuk berunding dengan Malaysia mengenai cara terbaik memastikan keselamatan dan keamanan di Selatan Thailand,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Kemerdekaan Pinggiran Senawang anjuran UMNO dan KRT Pinggiran Senawang di Taman Pinggiran Senawang, di sini hari ini.

Mohamad berkata, proses rundingan berkenaan tidak mudah memandangkan banyak pihak perlu dibawa ke meja rundingan, termasuk kumpulan yang berpecah kepada beberapa puak dan tidak berkomunikasi antara satu sama lain.

“Ia seperti di Myanmar juga, banyak pihak yang terlibat, bukan satu atau dua. Dalam satu puak itu pun kadang-kadang berpecah kepada tiga atau empat kumpulan yang kadang-kadang tidak berkomunikasi antara satu sama lain. Ada yang bersetuju, tetapi ada pula yang tidak bersetuju.

“Jadi bukannya mudah, sukar tetapi boleh dicapai untuk kita pastikan keamanan di Selatan Thailand dapat dicapai,” katanya.

Mohamad berkata, keamanan di wilayah berkenaan bukan sahaja penting kepada Thailand, malah memberi manfaat kepada Malaysia khususnya dari segi hubungan dan perdagangan rentas sempadan.

“Ini akan memberikan banyak faedah kepada kedua-dua buah negara kerana perdagangan sempadan antara Malaysia dan Thailand itu besar. Rakyat Malaysia pun ramai pergi ke Thailand. Setiap hujung minggu kadang-kadang berpuluh ribu,” katanya.

Katanya, kerajaan setakat ini tidak mengeluarkan sebarang larangan perjalanan ke Thailand, namun rakyat dinasihatkan supaya berhati-hati sepanjang berada di negara berkenaan.

“Kita tidak ada larangan yang dikeluarkan, tetapi nasihat perjalanan supaya berhati-hati dan berwaspada setiap masa agar keselamatan diutamakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×