175 warga asing dicekup dalam Op Mahir di Ipoh

175 warga asing dicekup dalam Op Mahir di Ipoh

SEBAHAGIAN warga asing yang ditahan dalam Op Mahir di kawasan perindustrian di Kanthan, Chemor di sini semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seramai 175 warga asing dicekup Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan dalam serbuan Op Mahir di tiga lokasi sekitar Bercham, di sini semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kesemua warga asing itu ditahan selepas pemeriksaan dijalankan terhadap 305 pekerja di dua kilang dan sebuah medan selera.

Katanya, siasatan mendapati kesalahan utama yang dikesan ialah bekerja tanpa dokumen atau permit kerja yang sah, manakala sebahagian lagi memiliki permit kerja yang tidak sepadan dengan syarikat tempat mereka bekerja.

“Operasi bermula pukul 7 malam itu dijalankan di tiga lokasi iaitu sebuah kilang papan, kilang sarung tangan dan medan selera.

“Majoriti yang ditahan merupakan warga Bangladesh selain warga Myanmar dan seorang warga Vietnam,” katanya dalam sidang akhbar selepas operasi di kawasan perindustrian di Kanthan, Chemor di sini, semalam.

Menurut beliau, dalam operasi itu, pihaknya turut mengesan beberapa kes penggunaan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu.

Katanya, pihaknya percaya terdapat kemungkinan majikan menggunakan khidmat ejen untuk mendapatkan PLKS palsu bagi membolehkan warga asing bekerja di premis mereka.

“Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti modus operandi termasuk dari mana mereka mendapatkannya serta sindiket yang terlibat,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara meluas di seluruh negara kerana masyarakat kini peka mengenai kebanjiran warga asing, khususnya pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Bagi mereka yang berada di negara ini secara sah, kita tidak akan mengambil tindakan tetapi terhadap mereka yang melakukan kesalahan, kita tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil termasuk terhadap majikan yang menggaji mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×