Jangan tuding jari, fokus laksana syor RCI TH - Utusan Malaysia

Jangan tuding jari, fokus laksana syor RCI TH

MOHD. SUKKI OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua pihak diminta menghentikan polemik saling menuding jari berhubung isu Lembaga Tabung Haji (TH), sebaliknya memberi tumpuan kepada pelaksanaan baki syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi memelihara amanah lebih sembilan juta pendeposit.

Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, kerajaan, pe­ngurusan TH, ahli politik, agamawan dan masyarakat digesa supaya meletakkan maslahah umat mengatasi kepentingan kelompok serta politik kepartian.

“Apa yang salah hendaklah diperbetulkan dan jika terbukti berlaku pelanggaran, pihak berkenaan perlu dipertanggungjawabkan mengikut undang-undang.

“Matlamat akhirnya adalah memastikan TH terus berdiri sebagai institusi Islam yang berintegriti, stabil, patuh syariah dan dipercayai demi kepentingan pendeposit serta generasi akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Isu membabitkan RCI TH kembali menjadi perhatian selepas laporan setebal 211 halaman yang mengandungi 25 syor penambahbaikan pengurusan dan operasi institusi itu didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu.

Pendedahan laporan itu turut menyaksikan gesaan supaya tindakan susulan dibuat secara menyeluruh, termasuk meneruskan siasatan oleh badan penguat kuasa terhadap sebarang kemungkinan pelanggaran undang-undang.

Mengulas lanjut, Mohd. Sukki berkata, pendeposit mahu melihat TH kukuh, amanah, profesional dan diyakini.

“Keyakinan masyarakat tidak dapat dipulihkan hanya melalui kenyataan tetapi melalui tindakan yang boleh dilihat, diukur dan dipertanggungjawabkan.

“Sebarang kelemahan yang dikenal pasti melalui RCI hendaklah ditangani secara serius, telus dan menyeluruh bagi memastikan perkara sama tidak berulang,” katanya.

Katanya, satu mekanisme pemantauan berkesan juga perlu diwujudkan bagi memastikan kelemahan sama tidak berulang.

“Selain itu, pelantikan ke­pimpinan hendaklah berasaskan integriti, kompetensi dan profesionalisme, selain meningkatkan ketelusan pengurusan kewangan serta pelaburan,” katanya.

Menurut Sukki, pematuhan syariah juga perlu diperkasakan manakala pelaksanaan baki syor RCI mesti disertai pemantauan berkesan.

“Pada masa sama, sebarang salah laku atau pelanggaran undang-undang yang dibuktikan melalui proses sewajarnya perlu dikenakan tindakan secara profesional tanpa mengira pihak terlibat.

“Akauntabiliti tetap perlu ditegakkan, tetapi pembaikan institusi tidak boleh terhenti aki­bat pertelingkahan. Keyakinan masyarakat tidak dapat dipulihkan hanya melalui kenyataan, sebaliknya memerlukan tindakan yang boleh dilihat, diukur dan dipertanggungjawabkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×