Kerajaan Madani 'bergolak', bubar Parlimen beri mandat pada rakyat-Pas

Kerajaan Madani ‘bergolak’, bubar Parlimen beri mandat pada rakyat-Pas

TUAN Ibrahim Tuan Man semasa menyampaikan ceramah sempena Sambutan Jubli Intan 75 Tahun Pas di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan malam tadi.-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Keadaan politik negara yang semakin bergolak susulan parti-parti dalam Kerajaan Madani saling serang-menyerang membuktikan keperluan untuk Parlimen dibubarkan menjadi perkara penting kearah pembentukan pentadbiran lebih stabil.

Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia bukan lagi rahsia apabila perkara tersebut dapat dilihat secara terbuka menerusi pelbagai kenyataan yang dibuat.

Katanya, perkembangan itu tidak seharusnya dibiarkan berlarutan kerana kestabilan politik perlu dikembalikan menerusi mandat baharu daripada rakyat.

“Biasanya perkara sebegini dalam parti tidak akan dibawa keluar, tetapi kerana kritikan situasi sudah sangat serius dan tidak boleh dikawal, masing-masing serang-menyerang sesama sendiri. Pandangan saya mudah sahaja untuk kestabilan, bubar Parlimen.

“Beri mandat kepada rakyat untuk rakyat buat pilihan baharu. Keputusan baru-baru ini bukan rakyat pilih satu parti, tetapi ia hanya gabungan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri ceramah Sambutan Jubli Intan 75 Tahun Pas di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) Pengkalan Chepa di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim memberitahu, selepas pilihan raya lalu tiada satu parti pun yang mampu membentuk kerajaan secara sendiri, sebaliknya kerajaan dibentuk menerusi persefahaman dan kerjasama politik.

“Namun, akhir-akhir ini parti-parti (kerajaan Madani) tersebut sudah saling serang-menyerang antara satu sama lain. Keadaan itu turut membabitkan isu peruntukan kementerian yang difahamkan dibatalkan sehingga menimbulkan kesukaran untuk membuat bayaran,” ujarnya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menyifatkan tindakan parti komponen kerajaan termasuk PKR dan DAP yang menyerang UMNO sebagai tidak wajar dalam konteks muafakat politik.

Katanya, UMNO mempunyai jumlah kerusi yang lebih banyak dan parti-parti lain tidak sepatutnya bertindak sedemikian terhadap parti berkenaan.

“UMNO jauh lebih besar berbanding parti-parti tersebut, dan mereka tidak sepatutnya bertindak demikian kerana UMNO mempunyai jumlah kerusi yang lebih banyak serta menumpang kekuatan UMNO yang ada.

“Dalam muafakat politik, biasanya kita saling menghormati, dan tindakan pihak-pihak komponen termasuk PKR dan DAP membuatkan UMNO dan ahlinya berasa tidak selesa,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×