ISKANDAR PUTERI: Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan momentum kemenangan selepas membenam DPMM FC 3-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Xisco Munoz mengekalkan kemenangan 100 peratus dengan mengutip 12 mata daripada empat perlawanan.
Bagaimanapun, skuad Harimau Selatan berdepan tugas sukar untuk merobek kubu lawan setelah pasukan pelawat cukup berdisiplin ketika bertahan memastikan gawang tidak dibolosi.
JDT akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-36, berpunca daripada percubaan Arif Aiman Hanafi yang dinafikan penjaga gol Samuel Somerville namun Bergson Da Silva berada di posisi tepat menerima bola sebelum menendang masuk ke dalam gawang DPMM.
Pengadil perlawanan, S. Logeswaran membenarkan jaringan itu dikira setelah semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati Arif Aiman tidak berada di posisi ofsaid ketika menerima hantaran jauh Jonathan Silva.
Empat minit berselang, JDT menambah jaringan sekali lagi menerusi larian lincah Arif Aiman dari sayap kanan sebelum membuat ‘cutback’ kepada Bergson untuk melepaskan rembatan kencang dari jarak dekat pada minit ke-40.
Hasrat pemain naturalisasi kelahiran Brazil itu untuk mencetak hatrik kecundang setelah jaringannya dibatalkan Logeswaran setelah semakan VAR mendapati Jonathan terlebih dahulu berada di kedudukan ofsaid sebelum membuat umpanan kepada Bergson pada minit ke-45.
Ketiadaan pengendali, Jamie McAllister tidak mematah semangat DPMM yang kekal berdisiplin ketika bertahan bahkan turut mengintai peluang untuk menjaringkan gol pertama perlawanan.
Shahab Zahedi yang cemerlang meledak empat gol ketika menentang Kelantan Red Warrior, sebelum ini tampak serba tidak menjadi setelah kurang mendapat umpanan cantik daripada rakan sepasukan.
Peluang terbaik penyerang Iran itu hadir pada minit ke-73 namun rembatan lencong dari luar kotak penalti ditepis keluar oleh Somerville.
Strategi Munoz membawa masuk Stoichkov pada pertengahan babak kedua membuahkan hasil apabila pemain tengah itu menjaringkan gol ketiga perlawanan menerusi rembatan lerek ke tiang kiri pintu gol menewaskan Somerville pada minit ke-73.
DPMM berpeluang merapatkan jurang gol setelah Nurikhwan Othman berjaya merampas bola daripada pertahanan lawan dan membuat umpanan kepada Miguel Oliveira namun rembatan pemain Portugal itu sedikit tersasar dari pintu gol JDT.
Pasukan pelawat berterusan melancarkan serangan ke kubu Harimau Selatan namun Ahmad Syihan bertindak cemerlang memastikan JDT mengekalkan rekod tanpa bola bolos dalam saingan Liga Super.
Hasrat Bergson untuk mencatatkan hatrik dalam dua perlawanan berturut-turut tidak kesampaian setelah hantaran Corbin Ong pada masa kecederaan gagal disudahkan penyerang naturalisasi itu.-UTUSAN










