KATHMANDU: Sektor pelancongan Nepal mencatat kerugian awal lebih 50 bilion rupee (RM1.34 bilion) susulan banjir kilat Bhotekoshi yang melanda beberapa kawasan negara itu pada Rabu minggu lalu.
Menteri Kebudayaan, Pelancongan dan Penerbangan Awam, Khadak Raj Paudel, berkata, bencana berkenaan turut merosakkan 142 hotel, 57 restoran dan 141 kenderaan berkaitan pelancongan, selain menjejaskan tapak warisan agama dan budaya di kawasan terbabit.
Beliau berkata, kemusnahan laluan pendakian Langtang, Gosainkunda, Parbatikunda dan Nathali turut menyebabkan pihak berkuasa perlu mengenal pasti laluan alternatif bagi memastikan aktiviti pelancongan dapat diteruskan.
Menurutnya, kementerian juga mencadangkan beberapa kawasan terjejas banjir dibangunkan sebagai tapak ‘warisan iklim’, termasuk pembinaan muzium, taman, monumen dan sturktur lain bagi mendokumentasikan bencana serta kesannya.
Paudel berkata, Nepal kini berdepan kesan perubahan iklim yang serius meskipun tidak banyak menyumbang kepada masalah itu.
Beliau turut menggesa masyarakat antarabangsa menyalurkan bantuan kewangan dan teknologi moden kepada Nepal, terutama sistem amaran awal untuk mengesan banjir letusan tasik glasier serta risiko lain di rantau Himalaya.
Paudel berkata, kerajaan akan bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk membawa masuk teknologi amaran bencana canggih yang dibangunkan di negara lain ke Nepal.
Beliau turut memuji syarikat penerbangan dan pengendali helikopter Nepal atas sumbangan besar mereka dalam operasi menyelamat dan bantuan, selain merakamkan penghargaan kepada pengusaha hotel yang menyediakan penginapan termasuk makanan secara percuma kepada mangsa banjir di Pokhara, Chitwan, Kathmandu serta kawasan lain.
Menurutnya, kerajaan juga mula menubuhkan pusat bantuan di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan dan beberapa lokasi utama lain bagi membantu pelancong yang terjejas serta keluarga mereka.
Beliau berkata, usaha penyelarasan turut dilakukan bersama kementerian berkaitan dan misi diplomatik.
Paudel menegaskan kepentingan komunikasi antarabangsa yang berkesan bagi mengelakkan bencana itu menjejaskan persepsi terhadap sektor pelancongan Nepal.
“Bencana alam boleh berlaku di mana-mana sahaja di dunia. Ia tidak akan memusnahkan industri pelancongan. Kami masih teguh berdiri dan bersedia menerima kedatangan pelancong,” katanya. – AGENSI










