KOTA BHARU: Gagasan Negara Berkebajikan dan penyelesaian Islam yang diperjuangkan Pas mesti dapat dilihat dan dirasai masyarakat bukan Islam, bukan sekadar disebut dalam ucapan.
Wakil Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP), Alex Chang Foo Yew berkata, masyarakat bukan Islam mahu melihat pembangunan material dan insan dilaksanakan berlandaskan prinsip keadilan kepada semua.
Katanya, mereka mahu pendidikan yang baik untuk anak-anak, peluang pekerjaan dan ekonomi, pentadbiran bersih, keselamatan keluarga serta kebebasan beragama dihormati.
“Paling penting mereka ingin diyakinkan bahawa dalam negara yang dipimpin berteraskan Islam, mereka juga mempunyai tempat, hak dan masa depan,” katanya ketika membahas Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Pas Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Menurut beliau, penekanan terhadap pembangunan insan termasuk membina manusia berilmu, berakhlak dan berkemahiran serta mampu menghadapi perubahan zaman merupakan titik pertemuan yang luas dengan masyarakat bukan Islam.
Katanya, DHPP menyambut baik Wawasan Induk Negara Sejahtera 2051 (WINS 2051) yang bergerak melalui tiga fasa iaitu pemulihan negara, negara model dan negara memimpin.
“Jika ia ingin menjadi wawasan untuk Malaysia, maka masyarakat majmuk mesti dapat melihat diri mereka berada di dalamnya.
“Golongan profesional, usahawan, akademik, belia dan pemimpin masyarakat bukan Islam juga mempunyai kepakaran untuk menyumbang dan DHPP bersedia menjadi jambatan untuk membawa mereka bersama,” ujarnya.
Foo Yew memberitahu, Piagam Jaminan Hak Bukan Islam juga perlu dibawa keluar dari dewan untuk dirasai masyarakat bukan Islam kerana keyakinan tidak dibina melalui ucapan, sebaliknya melalui pengalaman.
“Apabila masyarakat bukan Islam berurusan dengan wakil rakyat, kerajaan atau pimpinan Pas, pengalaman itulah yang menentukan bagaimana mereka melihat parti ini,” ujarnya.
Tambah beliau, DHPP perlu diperkasakan sekiranya Pas mahu memperluaskan kemenangan, khususnya bagi menembusi pengundi bukan Islam.
“Dalam perkara melibatkan masyarakat bukan Islam, DHPP ingin membawa satu permintaan jelas kepada seluruh pimpinan dan jentera Pas. Datanglah berbincang dengan DHPP.
“Jangan tunggu sesuatu isu menjadi kontroversi atau menimbulkan salah faham baru mahu cari DHPP. Jangan tunggu,” katanya.-UTUSAN









