PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang membenarkan Datin Seri Rosmah Mansor memasukkan bukti baharu, hari ini.
“Akan difailkan hari ini,” ujar Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Dusuki Mokhtar ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Selasa lalu, Rosmah berjaya dalam permohonannya untuk memasukkan bukti baharu melalui keterangan tambahan daripada saksi pendakwaan ke-16 (PW16), Rayyan Radzwill Abdullah berkait kes rasuah projek solar hibrid sekolah-sekolah luar bandar di Sarawak.
Ia selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Azhahari Kamal Ramli yang bersidang bersama Datuk Choo Kah Sing dan K. Muniandy mendapati permohonan itu mempunyai merit.
Dengan keputusan tersebut, rayuan Rosmah terhadap hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta atas kesalahan rasuah itu yang sepatutnya mula didengar 1 September lalu ditangguhkan ke 14 Oktober ini.
Panel mengarahkan keterangan tambahan hanya memfokuskan kepada laporan polis, akuan bersumpah (SD) dan afidavit sokongan yang dikemukakan Rayyan.
Pendengaran itu diarahkan untuk dilakukan dua minggu selepas tarikh pengurusan kes pada 10 September ini.
Pendengaran itu juga perlu dilakukan oleh hakim Mahkamah Tinggi yang baharu menggantikan Datuk Mohamed Zaini Mazlan yang sebelum ini mendengar kes tersebut dan kini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan.
Ketika membacakan penghakiman ringkas, Datuk Choo berkata, Mahkamah Rayuan pada peringkat ini tidak menentukan sama ada keterangan tambahan Rayyan itu benar atau sebaliknya.
Sebaliknya katanya, mahkamah hanya menentukan sama ada keterangan berkenaan relevan dan mempunyai tahap kebolehpercayaan yang mencukupi untuk dipertimbangkan.
Isu kesan keterangan tambahan itu terhadap kes juga perlu diberi perhatian memandangkan hakim bicara sebelum ini bergantung kepada keterangan Rayyan dalam membuat keputusan.
Sekiranya keterangan baharu itu diterima, ia secara munasabah berpotensi menimbulkan keraguan terhadap kesalahan yang diputuskan ke atas Rosmah.
Tambah panel itu, dakwaan seorang saksi bahawa keterangannya terjejas akibat tekanan daripada pihak pendakwaan turut menyentuh integriti proses pencarian fakta.
Peguam bela, Datuk Amer Hamzah Arshad selepas prosiding tersebut turut menjelaskan bahawa sebarang dapatan oleh Mahkamah Tinggi berhubung bukti baharu itu akan dikemukakan ke Mahkamah Rayuan.
Ujarnya, Mahkamah Rayuan kemudian akan menilai dapatan tersebut bersama bukti-bukti dan keterangan pada perbicaraan kes itu sebelum membuat keputusan muktamad. – UTUSAN










