KOTA BHARU: Pas Sarawak menyasarkan bertanding sekurang-kurangnya empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.
Perwakilan Pas Sarawak, Rasyidi Harun berkata, ia perlu dilihat sebagai medan penting untuk membina kekuatan jangka panjang parti.
“Saya ingin tegaskan, empat kerusi bukan sekadar angka. Setiap kerusi yang kita usulkan mempunyai objektif tertentu yang jelas.
“Pas perlu mengetahui kekuatan dan kelemahan di setiap kawasan yang ditandingi serta mempunyai pelan gerak kerja yang tersusun sebelum, semasa dan selepas pilihan raya,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan Pas Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Rasyidi berkata, penyertaan Pas dalam PRN Sarawak tidak boleh sekadar untuk menyertai pertandingan, sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada proses membina kekuatan parti untuk jangka panjang.
“Kita tidak mahu Pas Sarawak hadir dalam pilihan raya hanya untuk menyertai pertandingan. Kita mahu penyertaan itu menjadi sebahagian daripada proses membina kekuatan jangka panjang,” ujarnya.
Rasyidi berkata, daripada empat kerusi yang bakal disertai, Pas Sarawak menyimpan cita-cita besar untuk memenangi kerusi sulung parti itu di negeri berkenaan.
“Kalau selama 30 tahun kita telah menanam, kalau selama 30 tahun kita telah bekerja, kalau selama 30 tahun kita telah membina, maka kita berharap kemenangan sulung itu menjadi hadiah 30 tahun Pas Sarawak. Tetapi kemenangan itu tidak akan datang hanya kerana kita mengharapkannya,” ujarnya.
Katanya, kemenangan memerlukan perancangan yang jitu, usaha, pengorbanan serta gerak kerja yang tidak terhenti selepas pilihan raya selesai. – UTUSAN









