NEW YORK: Coco Gauff, Iga Swiatek dan Naomi Osaka meneruskan pemburuan gelaran Terbuka Amerika Syarikat (AS) apabila ketiga-tiga bekas juara itu mara ke pusingan ketiga dalam aksi penuh dramatik.
Gauff terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan bekas pemain No.2 dunia dari Sepanyol, Paula Badosa 6-4, 7-6 (7/5) di Arthur Ashe Stadium.
“Saya tahu dia akan meningkatkan permainannya kerana dia mampu menghasilkan pukulan kemenangan dan pukulan balas yang tajam.
“Saya rasa saya memerlukan perlawanan seperti ini untuk membina keyakinan,” katanya.
Swiatek pula tidak berdepan masalah besar apabila bekas pemain 40 terbaik dunia yang kini berada di ranking ke-449, Nadia Podoroska, ditundukkan 6-3, 6-2 dalam tempoh lebih sejam.
“Saya berjaya mengawal permainan dengan baik dan terus mengekalkan tekanan sehingga memperoleh kemenangan,” katanya.
Osaka turut meneruskan langkah selepas menundukkan Katerina Siniakova 6-2, 5-7, 6-1 walaupun sempat kehilangan set kedua selepas mendahului 5-3 sebelum bangkit menguasai penentuan.
“Saya hanya merasakan saya perlu berjuang. Saya cuba mengumpulkan semula fokus dalam set penentuan dan terus bermain dengan agresif untuk mendapatkan kemenangan,” katanya.
Kemenangan itu memastikan tiga bekas juara berkenaan kekal dalam persaingan, dengan Gauff dan Swiatek masing-masing meneruskan misi mengulangi kejayaan terdahulu, manakala Osaka memburu gelaran ketiganya di Flushing Meadows. – AGENSI










