KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group (MAG) bakal membina fasiliti katering baharu berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi unit perkhidmatan makanannya, MAG Culinary Solutions (MAGCS) bagi meningkatkan keupayaan penyediaan makanan dalam penerbangan.
Fasiliti baharu tersebut dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat 2028 sebelum mula beroperasi secara rasmi pada suku kedua 2029.
Langkah strategik ini membolehkan MAGCS menghasilkan sehingga 50,000 hidangan harian, hampir dua kali ganda berbanding kapasiti pengendalian semasa bagi memenuhi keperluan syarikat penerbangan kumpulan serta pelanggan pihak ketiga.
Pembangunan premis berkenaan telah mula menjalankan kerja-kerja tanah sejak Julai lalu selepas memperoleh Lesen Pengendalian Darat dan Sijil Kelulusan Teknikal daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Selain itu, projek perkhidmatan makanan penerbangan berkenaan turut mendapat Lesen Pengilangan Sementara daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata, pembinaan fasiliti berkenaan membolehkan MAG menyediakan sajian yang konsisten dan berkualiti tinggi seiring dengan fasa perluasan rangkaian penerbangan kumpulan.
“Peningkatan keupayaan MAGCS ini memantapkan asas MAG, meningkatkan daya saing, serta meletakkan kumpulan pada kedudukan terbaik untuk menangkap peluang pertumbuhan masa hadapan,” katanya semasa taklimat media di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), semalam.
Sejak pengambilalihan kendalian katering secara dalaman pada 2023, tahap kepuasan pelanggan terhadap sajian dalam penerbangan meningkat daripada 72 peratus kepada 78 peratus, manakala ketepatan masa perkhidmatan katering kekal konsisten pada kadar 99.9 peratus.
Sementara itu, dalam perkembangan rangkaian perkhidmatan, Malaysia Airlines bakal membuka semula laluan penerbangan terus ke Busan, Korea Selatan berkuat kuasa 2 Disember ini dengan frekuensi empat kali seminggu menggunakan pesawat Boeing 737-8.
Pembukaan laluan berkenaan menjadikan Malaysia Airlines sebagai satu-satunya syarikat penerbangan yang menawarkan perkhidmatan terus tanpa henti bagi laluan Kuala Lumpur–Busan selepas kali terakhir beroperasi pada 1998.
Anak syarikatnya, Firefly turut memperluas jangkauan ke barat daya China menerusi pengenalan penerbangan terus ke Kunming menggunakan pesawat Boeing 737-800 bagi melengkapi liputan pasaran sedia ada.
Bagi menampung peningkatan permintaan perjalanan antarabangsa, Malaysia Airlines turut menambah frekuensi penerbangan harian ke Brisbane, Australia berkuat kuasa 25 Oktober serta Fukuoka, Jepun bermula 1 Disember ini.
Laluan ke Surabaya, Indonesia pula akan ditingkatkan daripada 14 kepada 16 kali seminggu bermula 1 November bagi menyokong kemajuan hab penerbangan Kuala Lumpur dan Tahun Melawat Malaysia 2026. – UTUSAN










