Muktamar: Penyatuan ummah mesti jadi agenda utama Pas

Muktamar: Penyatuan ummah mesti jadi agenda utama Pas

MOHD. ASRI MAT DAUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Penyatuan ummah menerusi kerjasama politik perlu dijadikan sebagai agenda utama Pas dalam memperkukuh kekuatan parti dan memperluas pengaruhnya di seluruh negara.

Perwakilan Pas Kelantan, Mohd. Asri Mat Daud berkata, pengalaman sejarah lalu membuktikan bahawa permuafakatan dan penyatuan menjadi antara faktor penting yang membuka ruang kepada kemenangan serta kejayaan parti itu mentadbir negeri.

“Usaha penyatuan ummah melalui kerjasama politik ini, sama ada atas nama ta’awun siyasi atau tahaluf siyasi dengan parti-parti muafakat Islam, hendaklah dijadikan agenda keutamaan dengan mengelak sebarang anasir perpecahan dan pertembungan,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden Pas sempena Muktamar Pas Ke-72 di sini, hari ini.

Mohd. Asri berkata, Pas mempunyai pengalaman panjang dalam kerjasama politik termasuk dengan Perikatan pada 1972, 1973 dan 1974 serta bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).

Katanya, selepas tersingkir daripada gabungan pada 1977 dan menjadi pembangkang di Kelantan sehingga 1989, Pas kembali membina kerjasama menerusi Angkatan Perpaduan Ummah (APU) bersama Semangat 46, Berjasa dan Hamim.

“Hasil daripada permuafakatan, kita menang. Kita dapat mentadbir negeri. Kerjasama ini berkembang ke negeri-negeri yang lain, khususnya di Terengganu, Kedah dan Perlis.

“Pada 1989, Pas mula bekerjasama dengan parti-parti Muafakat Islam dan membentuk APU. Alhamdulillah, Pas telah menyapu bersih 39 kerusi,” ujarnya.

Katanya, kejayaan Pas menerusi kerjasama politik turut dapat dilihat ketika parti itu bersama Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat, termasuk menawan Terengganu pada 1999 serta lima negeri pada 2008.

Menurutnya, perkembangan terbaharu di Johor dan Negeri Sembilan juga membuktikan kepentingan kerjasama politik dalam memperluaskan kekuatan parti.

“Sebagaimana yang telah kita buat di Johor baru-baru ini, kita telah semai benih yang baik dan kita tengok di Negeri Sembilan bagaimana semaian kita itu telah membuahkan hasil dengan keuntungan muafakat.

“Sehingga hari ini, kita telah dianugerahkan Allah SWT untuk menjadi sebahagian daripada pentadbir di Kerajaan Negeri Sembilan,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×