KINI, kita berdepan satu bentuk penjajahan baharu yang tidak melibatkan ketenteraan, senjata atau sempadan wilayah. Penjajahan ini hadir secara senyap melalui budaya membuang sampah, penggunaan plastik sekali guna, pembaziran, pencemaran serta sikap sambil lewa terhadap kebersihan persekitaran.
Sebatang penyedut minuman, pembungkus makanan, botol air mineral atau beg plastik mungkin kelihatan kecil. Namun, apabila jutaan manusia menganggap perkara sama tidak membawa kesan, timbunan sisa akhirnya menjadi ancaman besar kepada alam sekitar.
Lebih membimbangkan, sebahagian masyarakat mula menganggap membuang sampah sebagai perkara biasa. Ada yang meninggalkan bekas makanan selepas program kerana menganggap tugas membersihkan kawasan terletak pada pekerja.
Ada pula mencampakkan sisa ke dalam longkang dengan alasan akan dihanyutkan air hujan. Sikap sedemikian menunjukkan penjajahan minda merupakan cabaran paling sukar untuk dibebaskan.
Kita perlu merdeka daripada budaya guna dan buang, kebergantungan terhadap plastik sekali guna serta anggapan kebersihan ialah tanggungjawab pekerja pembersihan semata-mata. Perubahan besar sentiasa bermula daripada tindakan kecil.
Tidak menggunakan sebotol plastik, membawa beg guna semula, menggunakan bekas makanan sendiri atau mengutip sampah di kawasan awam mungkin kelihatan remeh. Namun, jika diamalkan secara meluas, kesannya mampu menjadi luar biasa.
Kita baru menyambut Bulan Kebangsaan dan ia wajar menjadi titik permulaan kepada bentuk patriotisme yang lebih bermakna. Selain mengibarkan Jalur Gemilang, kita perlu menyemarakkan kesedaran menjaga alam sekitar.
Langkah pertama ialah menjadikan setiap sisa sebagai tanggungjawab individu. Kawasan awam seperti taman, sungai, pantai dan tempat rekreasi pula perlu dianggap sebagai ruang milik bersama. Pendidikan mengenai pengurusan sisa juga harus diterapkan sejak bangku sekolah, kemudian diperluas kepada institusi pengajian, tempat kerja serta komuniti.
Pada masa sama, pendidikan perlu disokong penguatkuasaan. Mereka yang sengaja mencemarkan ruang awam wajar dikenakan tindakan sewajarnya supaya kebebasan tidak disalahertikan sebagai lesen melakukan apa sahaja.
Akhirnya, cinta kepada Malaysia bukan sekadar dizahirkan melalui slogan dan kibaran Jalur Gemilang. Negara yang bersih, lestari dan terpelihara merupakan bukti patriotisme yang dapat diwariskan kepada generasi mendatang. Merdeka bukan hanya bebas daripada penjajahan, tetapi turut bebas daripada sikap yang merosakkan tanah air sendiri.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. SALWA MAHMOOD
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)










