Solat fajar penentu ‘merdeka’

Solat fajar penentu ‘merdeka’

MENUNAIKAN solat Subuh antaranya sebagai tanda bersyukur dan berterima kasih kepada Allah yang memanjangkan usia kita sehari lagi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGERJAKAN solat termasuk dalam salah satu rukun Islam. Selain itu, solat adalah perkara pertama akan dihisab di akhirat kelak. Ia sebagaimana yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW.

Solat diibaratkan seperti tiang bagi agama seperti yang diriwayatkan oleh Mu’az bin Jabal, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: Pokok segala urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat dan kemuncaknya adalah berjihad. (Riwayat al-Tirmidzi)

Al-Quran mengisahkan bahawa ketika dikeluarkan dari syurga, iblis meminta kepada Allah agar dapat menggoda anak cucu Adam supaya menjadi temannya di neraka kelak.

Iblis berkata, “Aku sungguh-sungguh akan mendatangi (menggoda) mereka dari arah depan dan arah belakang mereka, arah kiri dan arah kanan mereka. Dan sungguh mereka tidak akan menjadi hamba-Mu yang bersyukur” (al-A’raf: 17).

Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi penduduk neraka. (Fatir: 6)

Walaupun banyak peringatan diberi oleh Allah dan baginda SAW, manusia sering lalai. Kita sering termakan dengan pujuk rayu dan belitan syaitan sehingga ‘melupakan’ tanggungjawab utama kita diutus di atas muka bumi.

Sedangkan Allah SWT mengingatkan kita dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku. (al-Zariyat: 56)

Dalam suasana Bulan Kemerdekaan, marilah kita bermuhasabah. Adakah diri kita sudah merdeka daripada dijajah atau belenggu syaitan?

Solat fajar
Menunaikan solat fajar atau subuh, bukan mudah. Dalam keadaan kita lena dibuai mimpi, ramai yang tidak sedar apabila azan dilaungkan. Walaupun antara lafaz azan Subuh itu bermaksud: “Solat lebih baik daripada tidur” sudah beratus kali kita dengar.

Benarlah sabda Nabi SAW bermaksud: Solat yang paling berat bagi orang munafik ialah solat Isyak dan Subuh. Jika kamu mengetahui apa yang terdapat di dalamnya maka kamu akan mendatangi keduanya walaupun dengan merangkak. (Riwayat Muslim)

Sebagai muslim, solat Subuh menjadi penentu sama ada kita sudah merdeka atau bebas daripada belenggu syaitan atau kita masih dijajah atau diperintah oleh syaitan.

Diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud bahawa diceritakan kepada Rasulullah SAW terdapat seorang lelaki yang telah tidur sehingga berlalu waktu Subuh.

Lalu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Lelaki itu telah dikencing oleh syaitan di kedua telinganya. Atau Baginda SAW bersabda: “Di telinganya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menunjukkan bahawa syaitan telah menutup telinga orang yang tidur daripada solat (tidak mengerjakannya) sehingga dia tidak mendengar seruan azan dan dikatakan juga bahawa maknanya adalah syaitan telah memenuhkan telinganya dengan perkara-perkara batil maka terhijab telinganya daripada mendengar seruan azan.

Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda: Syaitan akan mengikat tiga ikatan di atas tengkuk kepala seseorang daripada kamu ketika tidur. Syaitan akan berkata: ‘Malam masih panjang bagimu, maka tidurlah.’

Jika dia bangun lalu mengingati Allah, terlerailah satu ikatan. Jika dia berwuduk, terlerailah ikatan kedua. Jika dia solat, terlerailah ikatan ketiga. Maka pada pagi itu dia akan bersemangat dan jiwanya tenang. Namun jika tidak, dia akan bangun dengan jiwa yang resah dan penuh kemalasan. (Riwayat Bukhari)

Solat Subuh mempunyai kelebihan yang istimewa bagi sesiapa yang menunaikannya.

Lebih-lebih lagi, bagi mereka yang menunaikannya secara berjemaah. Ia sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud “Sesiapa yang solat Isyak secara berjemaah, seumpama dia telah solat separuh daripada malam dan sesiapa yang solat subuh secara berjemaah, seumpama dia telah solat sepanjang malam.” (Riwayat Muslim)

Lebih penting, solat fajar ini adalah solat paling awal sebelum kita dibangkitkan daripada tidur waktu malam. Tidur kita itu sebenarnya mempunyai ciri-ciri yang sama dengan kematian.

Oleh kerana itu, para ulama menyebut bahawa tidur adalah kematian yang kecil. Tidur itu adalah kematian dan terjaga daripada tidur adalah kebangkitan.

Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Dialah yang mematikan kamu di malam hari dan Dia mengetahui apa yang kamu kerjakan pada siang hari, kemudian Dia membangunkan kamu pada siang hari untuk disempurnakan umur [mu] yang telah ditentukan, kemudian kepada Allahlah kamu kembali, lalu Dia memberitahukan kepadamu apa yang dahulu kamu kerjakan. Dan Dialah yang mempunyai kekuasaan tertinggi di atas semua hamba-Nya dan diutus-Nya kepadamu malaikat-malaikat penjaga, sehingga apabila datang kematian kepada salah seorang di antara kamu, dia diwafatkan oleh malaikat-malaikat Kami, dan malaikat-malaikat Kami itu tidak lalai (Al-An’am: 60-61)

Untuk itu, memang sewajarnya kita bangun menunaikan solat Subuh antaranya sebagai tanda bersyukur dan berterima kasih kepada Allah yang memanjangkan usia kita sehari lagi.

Disebabkan hal ini, kita juga akan banyak berdoa sebelum kita tidur. Doa-doa tidur itu juga membuktikan bahawa tidur adalah satu bentuk kematian yang kecil.

Apabila baginda mahu tidur, baginda akan membaca: (Dengan nama Mu ya Allah, aku mati dan aku hidup). Apabila Nabi SAW bangun daripada tidur, baginda akan membaca: (Segala puji bagi Allah, yang menghidupkan kami selepas kematian kami. Kepada-Nyalah kami kembali) (Riwayat Bukhari).

Satu lagi musuh yang perlu kita kawal ialah hawa nafsu. Ia adalah keinginan yang sentiasa pentingkan diri sendiri dan mendorong kepada perkara melampau. Sifatnya adalah terarah dan khusus pada satu-satu kejahatan serta mendesak secara berterusan sehingga kehendaknya tercapai.

Syaitan pula adalah musuh ghaib yang menghasut secara halus dan tidak terarah pada satu jenis kejahatan sahaja. Jika satu pintu tertutup, syaitan sentiasa mencari pelbagai jalan untuk menyesatkan manusia.

Cara paling berkesan bagi melemah dan mengendalikan nafsu adalah dengan mengamalkan ibadah puasa, menjaga pancaindera dan menyibukkan diri dengan aktiviti yang positif.

Nafsu pada hakikatnya tidak boleh dihapuskan sepenuhnya, tetapi ia perlu dididik dan dikawal agar tidak memudaratkan diri.

Mengamalkan Ibadah Puasa: Puasa melemahkan nafsu kerana ia menyekat sumber tenaganya, iaitu makanan dan minuman. Apabila tubuh berasa lapar, keinginan fizikal dan gelojoh nafsu (termasuk nafsu syahwat) akan menjadi lebih lemah dan mudah dikawal.

Menjaga Pintu Masuk Nafsu (Pandangan & Pendengaran): Mata dan telinga ialah ‘pintu gerbang’ utama yang memberi makan kepada nafsu dalam hati. Untuk itu, hendaklah kita tundukkan pandangan, elakkan daripada melihat perkara, video, atau gambar yang boleh merangsang keinginan negatif atau syahwat. Kedua, Kawal penggunaan media sosial, sekat akaun-akaun yang sering memaparkan kandungan yang mencetuskan hawa nafsu.

Fokus buat Aktiviti Positif: Apabila minda dibiarkan kosong, nafsu akan mudah mengambil alih. Sibukkan diri anda dengan perkara yang bermanfaat seperti bersukan untuk menyalurkan lebihan tenaga fizikal, membaca buku atau mendalami hobi baru atau buat kerja-kerja amal atau meluangkan masa bersama keluarga dan rakan yang membawa pengaruh baik.

Banyakkan doa dan zikir: Sentiasalah memohon perlindungan daripada Allah agar hati ditetapkan iman. Amalan zikir, membaca al-Quran dan menjaga solat lima waktu bertindak sebagai perisai dalaman yang membakar kekuatan hawa nafsu yang tidak baik. – UTUSAN

MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×