PETALING JAYA: Agrobank menyalurkan Pembiayaan Pembangunan Industri Nanas kepada Ning Planters Sdn. Bhd. bagi menyokong pengembangan industri nanas premium Sarawak Gold 1 (SG1).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, komitmen Agrobank adalah untuk menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pertanian moden, bernilai tinggi dan mampan.
“Pembiayaan ini mencerminkan mandat Agrobank dalam meningkatkan nilai tambah produk pertanian tempatan, memperluas akses pasaran serta memperkukuh penyertaan usahawan dan pekebun dalam rantaian nilai industri.
“Dengan tumpuan kepada pembangunan kapasiti dan pengukuhan ekosistem industri, kami yakin inisiatif ini mampu mewujudkan peluang ekonomi baharu, meningkatkan pendapatan komuniti pertanian serta memperkukuh daya saing nanas SG1 di pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.
Majlis penyerahan cek cura pembiayaan itu disempurnakan oleh Tengku Ahmad Badli Shah kepada Ning Planters yang berpangkalan di Miri, Sarawak.
Ning Planters ditubuhkan pada 2020 bagi mengkomersialkan varieti SG1 yang dibangunkan menerusi usaha penyelidikan dan penanaman sejak 2016.
Syarikat itu kini mengendalikan operasi penanaman berskala besar di Tukau, Miri dan berperanan sebagai syarikat peneraju dalam pembangunan rantaian nilai nanas SG1, termasuk membekalkan bahan tanaman kepada pekebun kecil.
Beliau berkata, Agrobank akan terus menyokong pembangunan sektor pertanian bernilai tinggi serta inisiatif yang memperkukuh keupayaan pemain industri tempatan, selaras dengan aspirasi untuk menjadikan produk pertanian Malaysia lebih berdaya saing di peringkat global. – UTUSAN










