PETALING JAYA: Proton Holdings Berhad (Proton) memperkukuh perkhidmatan selepas jualannya menerusi pelancaran Kempen Stay Safe & Save serta fasa terbaharu kerjasama dengan Little Joe.
Kedua-dua inisiatif ini menawarkan nilai lebih baik, jaminan keselamatan tambahan dan pengalaman lebih memuaskan kepada pemilik Proton setiap kali mereka mengunjungi pusat servis bertauliah.
Proton berkata, Kempen Stay Safe & Save terbuka kepada semua pelanggan Proton di pusat servis bertauliah seluruh negara, termasuk cawangan 2S bermula 1 September dan diteruskan selagi stok masih ada.
“Pelanggan akan menikmati diskaun 10 peratus bagi bateri, pad brek dan bilah pengelap cermin tulen Proton terpilih apabila alat ganti berkenaan dibeli serta dipasang di cawangan yang mengambil bahagian. Harga promosi adalah berbeza mengikut model kenderaan.
“Setiap pelanggan yang menyertai kempen ini turut menerima pemeriksaan keselamatan kenderaan 40 perkara secara percuma,” katanya dalam kenyataan.
Pembuat kereta nasional itu berkata, pemeriksaan ini diperluaskan daripada pemeriksaan standard 20 perkara bagi membolehkan penilaian lebih menyeluruh terhadap sistem-sistem utama kenderaan.
“Dengan menawarkan barangan penting yang mengalami kehausan pada harga lebih berpatutan serta pemeriksaan lebih menyeluruh, Proton mahu membantu pemilik mengesan sebarang masalah lebih awal, menyelenggara kenderaan dengan baik dan menikmati perjalanan dengan lebih yakin,” ujarnya.
Sementara itu, pembuat kereta berkata, fasa ketiga kerjasama Proton x Little Joe bermula pada 25 Ogos 2026 dan akan diteruskan selagi stok masih ada.
“Pelanggan boleh membeli pewangi udara 3D Proton x Little Joe pada harga RM17 tanpa sebarang syarat perbelanjaan minimum.
“Ditawarkan dalam dua wangian eksklusif, iaitu Amber berwarna merah dan Ginger Lemon berwarna biru, produk berkenaan tersedia untuk semua model Proton di pusat servis bertauliah 4S, 3S dan 2S.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Datuk Ir. Abdul Rashid Musa berkata, penjagaan pelanggan tidak berakhir sebaik sahaja sesebuah kenderaan diserahkan, sebaliknya diteruskan pada setiap kunjungan servis dan sepanjang tempoh pemilikan.
“Menerusi Kempen Stay Safe & Save, kami mengurangkan kos alat ganti tulen Proton yang penting, di samping menyediakan pemeriksaan keselamatan lebih menyeluruh kepada pelanggan.
“Pada masa sama, kerjasama kami dengan Little Joe menambahkan satu sentuhan kecil tetapi menyeronokkan dalam setiap perjalanan. Kedua-dua inisiatif ini mencerminkan komitmen kami untuk menawarkan perkhidmatan selepas jualan yang diyakini, mudah dan memberikan nilai terbaik,” jelasnya. – UTUSAN










