SAM Hulu Langat anjur STEMXplore 2026 - Utusan Malaysia

SAM Hulu Langat anjur STEMXplore 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PROGRAM berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di luar bilik darjah bukan sahaja berjaya memupuk minat murid terhadap pembelajaran, malah selari dengan matlamat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memperkukuh pendidikan STEM.

Antaranya melahirkan murid yang berfikiran kritis, kreatif, inovatif serta berupaya mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran dalam menyelesaikan masalah kehidupan sebenar.

Berbekalkan idea, konsep dan kreativiti, para pelajar memanfaatkan barangan terpakai untuk menghasilkan pelbagai rekaan inovatif.

Pendekatan pembelajaran secara amali dan menyeronokkan itu, sekali gus memberi peluang kepada murid meneroka, mencuba dan mengembangkan potensi diri di luar bilik darjah.

Buktinya, Model Demonstrasi Pergerakan Darah Dalam Jantung yang merupakan cetusan idea tiga pelajar tingkatan tiga Sekolah Agama Menengah (SAM) Hulu Langat ini berjaya mencuri tumpuan ramai menerusi kreativiti serta keupayaan mereka menterjemahkan konsep sains kepada sebuah model demonstrasi yang menarik.

Mereka diwakili oleh Nik Aisy Adelia Nik Mohd Mujanif, Nur Adlin Humaira Mohd Nabil dan Alisha Sofiya Muhamad Khairul Nejam, yang menghasilkan model berkenaan bagi membantu murid memahami struktur dan proses peredaran darah dalam jantung dengan lebih mudah dan jelas.

Nik Aisy Adelia berkata, tajuk tersebut dipilih berdasarkan bab tiga dalam silibus sains tingkatan tiga yang banyak menerangkan tentang struktur badan manusia.

Katanya, murid sering menghadapi kesukaran untuk memahami struktur serta pergerakan darah dalam jantung kerana tidak dapat melihat proses tersebut secara visual, sekali gus menyukarkan mereka untuk membayangkan dan memahami topik berkenaan.

“Model demonstrasi itu dihasilkan bagi memberikan kefahaman yang lebih mudah kepada murid melalui kaedah pembelajaran secara visual dan interaktif. Antara bahan yang digunakan untuk menghasilkan model tersebut ialah empat picagari, tiub serta gambar jantung,” katanya.

Selain itu, ketiga-tiga pelajar itu turut menggunakan kaedah tapak tangan sebagai teknik mudah untuk membantu murid menghafal struktur jantung. Kaedah tersebut diharap dapat menjadikan proses pembelajaran lebih menarik dan mudah diingati.

Mereka berpendapat murid pada masa kini lebih gemar belajar sambil bermain dan melakukan aktiviti interaktif berbanding hanya membaca buku teks semata-mata.

Oleh itu, penggunaan model demonstrasi ini bukan sahaja dapat menarik minat murid, malah membantu mereka memahami topik sains dengan lebih berkesan.

PEWANGI PANDAN MESRA ALAM

Sekumpulan pelajar tingkatan satu menghasilkan inovasi Eco Scented Dehumidifier iaitu pewangi dan penyerap kelembapan berasaskan bahan semula jadi yang mudah didapati. Inovasi tersebut dihasilkan oleh Adelia Nur Hayfa Ahmad Husaini, Putri Nur Laila Sofia Mohammad Khairil dan Sufi Nur Amani Sahari.

Adelia Nur Hayfa berkata, idea menghasilkan inovasi berkenaan tercetus daripada keinginan untuk menghasilkan pewangi yang lebih menjimatkan dan tahan lebih lama.

Jelasnya, pewangi serta penyerap kelembapan yang dijual di pasaran kebiasannya lebih mahal dan hanya dapat digunakan dalam tempoh kira-kira seminggu.

“Bagi mengatasi masalah tersebut, kami menggunakan bahan-bahan mudah didapati seperti daun pandan, garam kasar dan kepingan arang.

“Daun pandan berfungsi memberikan aroma semula jadi yang menyenangkan manakala garam kasar membantu menyerap kelembapan dalam udara. Kepingan arang pula bertindak menyerap bau busuk, bau kepam serta kelembapan di dalam ruang tertutup.

“Selain berfungsi sebagai pewangi, Eco Scented Dehumidifier juga dapat membantu mengurangkan bau tidak menyenangkan dan kelembapan, selain membantu menghalau serangga perosak seperti lipas. Aroma semula jadi daripada daun pandan turut memberikan kesegaran kepada ruang tertutup,” katanya.

Menariknya, inovasi tersebut mampu bertahan sehingga dua bulan berbanding pewangi komersial yang biasanya perlu diganti dalam tempoh lebih singkat. Penggunaan bahan yang mudah diperoleh juga menjadikan inovasi ini lebih praktikal dan menjimatkan.

Melalui penghasilan Eco Scented Dehumidifier, ketiga-tiga pelajar itu berharap inovasi berasaskan bahan semula jadi ini dapat menjadi alternatif yang mudah, murah dan mesra alam untuk kegunaan di rumah.

RODA SEJARAH

Sekumpulan pelajar Tingkatan Tiga, Khairun Nadiah Jamzuri, Irina Yasmin Zuwardi Azer dan Muhammad Hadif Ilmi Jawadi menghasilkan satu alat inovasi pembelajaran yang diberi nama Roda Sejarah atau History Wheel bagi menjadikan subjek Sejarah lebih menarik dan interaktif.

Menurut mereka, idea menghasilkan inovasi tersebut tercetus apabila mendapati kebanyakan murid mudah berasa bosan dengan subjek Sejarah yang mengandungi terlalu banyak perkataan dan fakta untuk dibaca serta diingati. Keadaan itu turut menyebabkan murid sukar memberikan tumpuan dalam tempoh yang lama.

Justeru, Khairun Naidah berkata, Roda Sejarah dihasilkan sebagai kaedah pembelajaran yang dapat membantu murid mengingat fakta dengan lebih cepat melalui pendekatan yang menyeronokkan dan interaktif.

“Objektif utama inovasi tersebut adalah untuk menjadikan Sejarah sebagai subjek yang tidak membosankan, selain membantu murid memahami serta mengingati fakta dengan lebih mudah.

“Inovasi berkenaan merangkumi enam aspek penting dalam pembelajaran Sejarah iaitu tokoh, tarikh, peristiwa, sebab, kesan dan pengajaran. Keenam-enam aspek tersebut disusun dalam Roda Sejarah bagi memudahkan murid membuat ulang kaji secara lebih tersusun,” katanya.

Roda Sejarah dihasilkan menggunakan bahan yang mudah didapati dan sebahagian daripadanya berasaskan bahan kitar semula seperti kotak, kad manila, kertas warna, straw serta bahan hiasan lain. Penggunaan bahan tersebut bukan sahaja menjadikan inovasi lebih menjimatkan malah menerapkan elemen kreativiti dalam kalangan pelajar.

Cara penggunaannya juga mudah. Murid terlebih dahulu membaca dan memahami topik Sejarah berdasarkan enam aspek yang disediakan. Selepas itu, murid perlu mencabut satu nombor secara rawak daripada sebuah bekas sebelum memusingkan Roda Sejarah.

Apabila roda berhenti, murid perlu menjawab soalan berdasarkan nombor yang dipilih dan bahagian yang diperoleh pada roda tersebut. Kaedah ini menjadikan proses pembelajaran seperti satu permainan, sekali gus dapat menarik perhatian murid dan menggalakkan mereka terlibat secara aktif.

Melalui penghasilan Roda Sejarah, ketiga-tiga pelajar berharap subjek Sejarah dapat dipelajari dengan cara yang lebih menyeronokkan, interaktif dan mudah diingat sekali gus membantu murid meningkatkan minat serta kefahaman terhadap subjek tersebut.

STATUS BUKAN HALANGAN

Walaupun berstatus Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), ia bukan halangan buat SAM Hulu Langat menganjurkan program STEM.

STEM Explore 2026 yang dianjurkan buat kali kedua di sekolah yang tertubuh sejak 1983 itu, menepis stigma terhadap fungsi sekolah agama yang hanya menekankan subjek berteraskan dini (keagamaan) dan Bahasa Arab.

Kali pertama dianjurkan pada 2024, program yang melibatkan penyertaan pelajar menengah rendah dari tingkatan satu hingga tiga memberi fokus kepada penghasilan inovasi dan kreativiti dalam kalangan murid.

Tahun ini, program itu diteruskan dengan pengisian yang lebih berfokus kepada inovasi bagi memberi peluang kepada murid menghasilkan produk serta mengembangkan kemahiran berfikir secara kreatif.

Pengetua SAM Hulu Langat, Mahani Othman, berkata, aktiviti yang dilaksanakan bukan sekadar menghasilkan sesuatu produk, sebaliknya turut membantu murid membina pelbagai kemahiran sosial dan kemahiran menyelesaikan masalah.

“Daripada satu tugasan yang mudah seperti menyediakan jambatan, sebenarnya murid dapat mengembangkan banyak kemahiran sosial apabila mereka berhubung dan bekerjasama dengan rakan untuk menyelesaikan sesuatu masalah sehingga akhirnya berjaya menghasilkan jambatan mengikut spesifikasi yang ditetapkan,” katanya.

Antara aktiviti yang dianjurkan sepanjang program dua hari itu termasuk pertandingan inovasi dan reka cipta, pertandingan membina jambatan, cabaran kereta lumba, pameran terrarium STEM, cabaran kalkulator dan mini zoo bergerak.

Mahani berkata, pendekatan sedemikian dapat melahirkan kemahiran mencipta dan menggalakkan murid berfikir secara kreatif, selaras keperluan pendidikan semasa yang memberi penekanan terhadap pembentukan murid yang mempunyai daya pemikiran kreatif dan inovatif.

“Program berkenaan turut melibatkan penghasilan dan pameran daripada beberapa panitia termasuk Panitia Sains, Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), Fizik serta beberapa mata pelajaran lain.

“Pada tahun ini, program turut diperkasakan menerusi sinergi bersama rakan strategik dan komuniti sekolah di sekeliling,” katanya.

PERKASA RIMUP

Beliau berkata, program itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada STEM, malah menjadi platform untuk menggalakkan perpaduan merentas kaum melalui penglibatan sekolah swasta, Beaconhouse Sri Murni yang bersebelahan premis berkenaan.

“Kehadiran murid dari sekolah jiran untuk sama-sama menonton dan menyertai program ini dapat meningkatkan kesedaran serta mengeratkan hubungan antara murid daripada latar belakang berbeza.

“Ia juga berdasarkan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) kerana pelajar di sekolah ini 100 peratus adalah bangsa Melayu dan beragama Islam. Ia sekali gus memberi peluang murid bercampur dan sama-sama menyertai setiap program dan modul yang dibawa,” katanya.

Penglibatan murid dalam aktiviti di luar bilik darjah turut menunjukkan perubahan positif apabila mereka dilihat lebih ceria, aktif dan seronok menyertai pembelajaran secara praktikal, kata Mahani.

“Kalau sebelum ini mereka mengikuti Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dalam kelas, apabila berada di luar kelas kita nampak mereka lebih seronok.

“Ini juga antara usaha kita untuk melahirkan persekitaran sekolah yang bermakna dan menarik minat murid untuk datang ke sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, Mahani turut melahirkan rasa bangga melihat hasil inovasi murid, khususnya pelajar menengah rendah berusia dari 13 tahun yang berani tampil menyelesaikan masalah melalui idea dan kreativiti mereka sendiri.

Katanya, penghasilan terrarium misalnya memperlihatkan kreativiti murid apabila mereka menggunakan elemen seperti lampu untuk menjadikan hasil inovasi lebih menarik.

“Bila kita lihat hasil mereka, kita nampak kreativiti. Mereka bukan sahaja menghasilkan produk, tetapi melalui beberapa langkah untuk mengenal pasti dan menyelesaikan masalah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×