Langkah Jun Hao disekat Jonatan, Soon Huat-Shevon mara

Langkah Jun Hao disekat Jonatan, Soon Huat-Shevon mara

Leong Jun Hao-UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain perseorangan lelaki No. 1 negara, Leong Jun Hao masih terperangkap dengan prestasi hambar dan buat kesekian kalinya dia tersingkir seawal pusingan pertama pada Kejohanan Badminton China Masters di Guangdong, China, hari ini.

Jun Hao yang menghuni ranking ke-27 dunia kurang bernasib baik apabila membuka aksinya pada kejohanan berstatus Super 750 itu menentang bintang No. 1 dunia, Jonatan Christie dari Indonesia dan dia tewas 17-21, 19-21 dalam masa 44 minit.

Kekalahan itu menyaksikan anak jati Kuala Lumpur tersebut kini keciciran di belakang Jonatan dengan rekod pertemuan 3-5.

Jun Hao berkata, dia gagal memanfaatkan peluang yang terbuka sewaktu mendahului 19-15 pada set kedua bagi memaksa Jonatan beraksi dalam aksi penentuan.

“Pada hujung permainan (set kedua) saya gagal ambil kesempatan, berjaya mendahului beberapa mata, tetapi saya terlalu banyak berfikir macam mana hendak habiskan permainan ini.

“Saya tak fikir langsung berapa mata saya dah kutip dan mungkin saya tergesa-gesa nak habiskan permainan,” katanya sewaktu ditemu bual oleh wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan tamat.

Pemain berusia 27 tahun itu, bagaimanapun, memberitahu, dia tidak akan membiarkan kekalahan tersebut mematahkan semangatnya dan akan terus berusaha keras bagi meningkatkan kembali prestasi.

Di sebalik kekalahan Jun Hao, sekurang-kurangnya masih ada berita gembira buat peminat badminton di tanah air, selepas beregu campuran No. 14 dunia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai mara ke pusingan kedua.

Pasangan suami isteri itu melakar kemenangan straight set ke atas wakil Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Francesca Corbett 21-14, 21-19 dalam masa 30 minit di peringkat 32 terbaik.

Soon Huat-Shevon meneruskan rekod kemenangan bersih ke atas beregu ke-41 dunia tersebut apabila mendahului selesa 4-0.

Pada peringkat 16 terbaik, Khamis ini, Soon Huat-Shevon akan berdepan beregu No. 21 dunia, Akira Koga-Natsu Saito dari Jepun dan untuk rekod, kedua-dua pasangan belum pernah bertemu dalam mana-mana kejohanan antarabangsa sebelum ini.

Kemaraan Soon Huat-Shevon, bagaimanapun, gagal disertai satu lagi beregu campuran Malaysia, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien yang tumpas kepada gandingan Taiwan, Ye Hong Wei-Nicole Gonzales Chan 21-6, 12-21, 22-24 dalam masa 46 minit.

Turut terkandas, wakil perseorangan wanita negara, Wong Ling Ching yang tunduk di tangan Supanida Katethong dari Thailand 14-21, 14-21 dalam masa 34 minit.

Nasib malang dialami Ling Ching turut berjangkit kepada beregu wanita negara, Ong Xin Yee-Carmen Ting yang tewas di tangan Hsu Ya Ching-Sung Yu Hsuan dari Taiwan 16-21, 15-21 dalam masa 35 minit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN