Luqman batal perjalanan ke Nepal saat akhir, harap rakan dijumpai segera

Luqman batal perjalanan ke Nepal saat akhir, harap rakan dijumpai segera

ANTARA gambar terakhir yang dihantar ke dalam kumpulan Whatsapp pendaki Malaysia pada 26 Ogos lalu. Dari kiri, Muhammad Muhaimin Azhad Noor Hadi, Muhammad Adib Haikal Awang Mansor dan Muhammad Zaki Othman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Seorang pemuda berharap agar rakannya, Muhammad Adib Haikal Awang Mansor, 27, yang dilaporkan hilang ketika menyertai aktiviti pendakian di Nepal ditemui segera.

Luqman Hakim, 27, berkata, dia sepatutnya bersama-sama Muhammad Adib ke negara itu baru-baru ini, namun, terpaksa membatalkan perjalanannya ke sana pada saat-saat akhir atas sebab kecemasan.

“Saya kenal dia (Muhammad Adib) sejak 11 tahun lalu dan kami berkongsi minat yang sama iaitu berlari dan mendaki.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kehilangan Adib sangat menyedihkan, namun, saya berharap agar dia dijumpai dan kembali ke pangkuan keluarga di tanah air dengan selamat,” katanya ketika dihubungi di sini.

Muhammad Adib yang berasal dari Kulim, Kedah dikatakan pergi ke Nepal untuk mendaki gunung bersama dua lagi pendaki tempatan iaitu Muhammad Muhaimin Azhad Noor Hadi, 27, dan Muhammad Zaki Othman, 29, yang kedua-duanya berasal dari Pulau Pinang.

Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka dipercayai hilang dan gagal dihubungi ketika sedang melakukan aktiviti pendakian di Langtang Valley, Nepal.

Selain mereka bertiga, puluhan lagi rakyat Malaysia dikatakan turut terkandas dan gagal dihubungi susulan kejadian tanah runtuh serta banjir besar yang melanda sempadan Nepal-Tibet, Rabu lalu.

Mengulas lanjut, Luqman yang bekerja sebagai seorang jurutera pengeluaran di Perai memberitahu, kali terakhir dia bertemu dengan Muhammad Adib ialah pada 17 Jun lalu ketika mereka sama-sama mendaki bukit Cherok Tok Kun di Bukit Mertajam.

“Ketika itu, kami cuba berbual seperti biasa dan Adib juga belum menyatakan perancangan yang jelas untuk menyertai ekspedisi mendaki di Nepal.

“Sehingga hari ini sebenarnya, saya masih cuba menghubungi Adib berkali-kali untuk mengetahui keadaannya, namun, panggilan saya tidak pernah berjawab,” ujar Luqman.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini