Jalur Gemilang Jumaro berkibar sepanjang tahun

Jalur Gemilang Jumaro berkibar sepanjang tahun

MOHD. Jumaro Marzuki bersama isterinya, Azizah Yakimi di hadapan kediaman mereka yang dipenuhi Jalur Gemilang ketika ditemui di Felda Raja Alias 4, Bandar Sri Jempol, Jempol, Negeri Sembilan. – UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Lebih tiga dekad berlalu namun seorang warga emas di Felda Raja Alias 4, Bandar Sri Jempol di sini, tidak pernah jemu mengibarkan Jalur Gemilang di kediamannya sebagai tanda kecintaan terhadap negara.

Mohd. Jumaro Marzuki, 69, yang mula memasang bendera kebangsaan itu sejak 1990 berkata, amalan ber­kenaan bukan sekadar dilakukan ketika Bulan Kebangsaan, sebaliknya diteruskan sepanjang tahun.

Menurutnya, dia juga sering dipanggil oleh agensi dan masyarakat untuk mengajar cara pemasangan serta susunan bendera yang betul.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bukan boleh pasang sesuka hati. Ada cara dan susunannya. Kalau tidak tahu, tanya orang yang tahu supaya bendera dipasang dengan betul.

“Bendera ini bukan sekadar kain, tetapi identiti dan maruah negara kita,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Felda Raja Alias 4, Bandar Sri Jempol di sini.

Jumaro atau lebih dikenali sebagai ‘Pak Cik Bendera’ berkata, dia juga akan mengambil Jalur Gemilang yang tercabut atau terjatuh di tepi jalan, sebelum menyimpannya atau menggunakannya semula jika masih dalam kea­daan baik.

Bertambah menarik, Jumaro dilahirkan pada 31 Ogos 1957, iaitu tarikh negara mencapai kemerdekaan, dan sering dijemput persatuan penduduk untuk meraikan hari lahirnya.

“Bendera yang saya pasang di rumah akan dikibarkan sepanjang tahun dan hanya diganti apabila rosak atau koyak. Isteri juga akan membantu menjahit semula sekiranya bendera tersebut di­salah pasang.

“Sekarang bendera sudah murah dan mudah diperoleh. Jadi tidak ada alasan untuk masyarakat tidak membeli dan memasangnya.

“Kalau boleh, satu rumah mesti ada satu Jalur Gemilang. Jangan tunggu Bulan Kebangsaan sahaja kerana bendera merupakan maruah kita,” katanya.

Dia berkata, sepanjang 30 tahun, kira-kira RM10,000 telah dibelanjakan untuk membeli bendera namun dirinya tidak pernah menganggapnya sebagai satu pembaziran.

“Saya beli sedikit-sedikit apabila ada rezeki. Kalau ada kawan beri, saya simpan. Bagi saya, ini bukan soal pertan­dingan tetapi soal semangat dan kecintaan kepada negara,” katanya.

Selain itu , datuk kepada 19 orang cucu itu turut berharap generasi muda kembali menghidupkan semangat mengibarkan Jalur Gemilang seperti generasi terdahulu.

“Dulu budak-budak umur tujuh, lapan dan sembilan tahun pun ada bendera. Sekarang ada, tetapi tidak sehebat dahulu. Saya harap semangat cinta kepada negara ini dapat dihidupkan semula, terutama dalam kalangan generasi muda,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini