NAMA Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani, baru-baru ini menjadi sebutan dalam kalangan netizen Malaysia selepas video beliau secara simbolik menampal lubang jalan ke-100,000 di bandar raya itu tular di media sosial.
Pencapaian tersebut dilaporkan sebagai sebahagian usaha agresif pentadbirannya membaiki lebih 100,000 lubang jalan dalam tempoh 100 hari pertama tahun ini.
Tidak lama kemudian, muncul pelbagai gurauan dan meme dalam kalangan netizen Malaysia yang secara berseloroh meminta Mamdani ‘datang ke Malaysia’ untuk membantu dalam beberapa isu rakyat termasuk membaiki jalan rosak.
Malah, mungkin gurauan itu lebih mendapat perhatian kerana sebutan yang seakan-akan sama antara ‘Mamdani’ dengan gagasan Malaysia ‘Madani’.
Walaupun bersifat jenaka, isu sebenar pastinya persepsi sesetengah masyarakat terhadap perkara yang mereka hadapi setiap hari seperti keselamatan dan kualiti perkhidmatan awam termasuk membabitkan jalan rosak di negara ini.
Saya percaya kita perlu sentiasa terbuka mempelajari amalan terbaik dari mana-mana negara apatah lagi negara yang lebih maju.
Jika ada dasar atau pendekatan yang terbukti berjaya meningkatkan kualiti hidup rakyat, kita wajar mengkajinya dan menyesuaikannya dengan keperluan tempatan.
Namun dalam kita mengagumi pencapaian luar, jangan kita lupakan bahawa Malaysia yang menyambut Hari Kebangsaan ke-69 tahun ini juga sedang bekerja keras memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan awam.
Dalam isu jalan raya contohnya, kerajaan melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) bukan sekadar mengakui kewujudan masalah, malah telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi memastikan aduan rakyat diterima, disiasat dan diselesaikan dengan lebih pantas.
Antara inisiatif utama ialah aplikasi MYJalan yang diperkenalkan KKR pada 2023 sebagai platform sehenti untuk orang ramai melaporkan kerosakan jalan.
Melalui aplikasi ini, rakyat boleh mengemukakan aduan berkaitan jalan rosak termasuk berlubang, selain kerosakan lampu jalan, longkang dan pelbagai isu penyelenggaraan lain.
Isu jalan di Malaysia ini kadangkala agak kompleks kerana berada di bawah bidang kuasa yang berbeza, KKR sendiri melalui jabatan serta agensinya seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), selain kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Sebenarnya, hanya jalan Persekutuan dan lebuh raya sahaja berada di bawah tanggungjawab KKR secara langsung manakala jalan negeri pula di bawah seliaan kerajaan negeri dan jalan bandaran serta perumahan di bawah tanggungjawab PBT.
Terdapat juga jalan kampung dan pertanian di bawah seliaan kementerian serta agensi berbeza. Jadi, tidak semua jalan rosak atau berlubang di bawah tanggungjawab JKR.
Namun, saya tidak mahu menjadikan isu bidang kuasa ini sebagai alasan, kerana rakyat tidak peduli agensi mana yang bertanggungjawab setiap kali melanggar lubang, atau melalui jalan yang rosak.
Kerajaanlah yang perlu berusaha menyelesaikan masalah itu, dengan kementerian serta agensi dan jabatan di bawahnya bekerjasama antara satu sama lain, sekali gus tidak bergerak secara bersendirian.
Justeru, melalui aplikasi MYJalan yang menyambut ulang tahun ketiga tahun ini, saya menekankan konsep No Wrong Door Policy.
Pendekatan ini memastikan aduan tidak ditolak hanya kerana jalan berkenaan berada di bawah bidang kuasa pihak lain.
Sebaliknya, aduan tetap diterima dan segera disalurkan kepada agensi atau pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi tindakan lanjut.
MYJalan
Sejak pelancaran pada Ogos 2023 sehingga Julai lalu, sebanyak 68,334 aduan telah diterima menerusi MYJalan dengan 21,448 aduan (31.39 peratus) membabitkan jalan di bawah seliaan agensi KKR manakala 46,886 aduan lagi (68.61 peratus) membabitkan pihak lain.
Bagi jalan di bawah tanggungjawab KKR, sebanyak 96.8 peratus aduan (20,762 aduan) telahpun diselesaikan manakala baki 3.2 peratus (686 aduan) sedang dalam proses tindakan.
Sudah tentu angka tersebut tidak bermakna masalah jalan rosak telah selesai sepenuhnya. Malaysia mempunyai rangkaian jalan raya yang panjang.
Kerosakan baharu boleh berlaku pada bila-bila masa akibat faktor cuaca, trafik berat, usia infrastruktur dan pelbagai sebab lain.
Oleh itu, kerajaan terus memperuntukkan jumlah yang besar setiap tahun bagi pembinaan serta penyelenggaraan jalan raya.
Menerusi Belanjawan 2026, sebanyak RM2.5 bilion diperuntukkan untuk penyelenggaraan Jalan Persekutuan termasuk menurap jalan berlubang dan memasang lampu jalan.
Bagi jalan negeri pula, kerajaan menyediakan dana Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) berjumlah RM5.6 bilion, serta RM30 juta bagi memperkukuh peranan Jurutera Daerah dalam mempercepat kerja membaiki jalan berlubang.
Penggunaan sistem pemantauan digital, analitik data, kecerdasan buatan (AI) serta jentera penyelenggaraan berteknologi tinggi digunakan bagi membantu proses pengesanan kerosakan dengan lebih pantas.
Persepsi dan Realiti
Berdasarkan data Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2019 yang dihimpunkan oleh The Global Economy, Malaysia berada di kedudukan ke-21 dunia bagi kualiti jalan raya dengan skor 5.3 daripada 7.0.
Kedudukan tersebut meletakkan Malaysia dalam kalangan negara yang mempunyai rangkaian jalan raya berkualiti tinggi dan mengatasi beberapa negara maju termasuk Australia serta United Kingdom.
Prestasi negara turut disokong oleh penilaian Bank Dunia menerusi Indeks Prestasi Logistik (LPI) 2023 yang meletakkan Malaysia di kedudukan ke-26 dunia serta kedua terbaik di ASEAN selepas Singapura.
Walaupun indeks ini tidak menilai kualiti jalan raya secara khusus, ia mengambil kira aspek infrastruktur perdagangan dan pengangkutan yang turut disokong oleh rangkaian jalan raya negara.
Semua ini tidak bermakna kita harus berpuas hati. Sebaliknya, pengiktirafan tersebut perlu menjadi motivasi untuk terus memperbaiki kelemahan yang masih wujud.
Rakyat berhak menuntut jalan yang lebih selamat, lebih selesa dan lebih berkualiti.
Setiap aduan perlu diberikan perhatian kerana satu lubang kecil di atas jalan boleh membawa akibat besar kepada pengguna, khususnya penunggang motosikal.
Sebab itu saya sentiasa mengalu-alukan teguran, cadangan dan maklum balas rakyat. Kritikan yang membina membantu kerajaan menjadi lebih baik.
Pada masa yang sama, kita juga perlu berlaku adil dalam menilai usaha yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan melalui penjawat awam.
Kita mungkin belum sempurna.
Namun kita sedang bergerak ke hadapan, dengan pelan yang jelas, tindakan yang berterusan dan matlamat yang sama, iaitu menyediakan infrastruktur yang selamat, berkualiti dan boleh dibanggakan oleh seluruh rakyat Malaysia.
Selamat menyambut Hari Kebangsaan ke-69 dan ulang tahun ketiga MYJalan. – UTUSAN
DATUK Seri Alexander Nanta Linggi ialah Menteri Kerja Raya.











