KUALA LUMPUR: Speedy Tigers menutup tirai Piala Dunia Hoki 2026 dengan keputusan mengecewakan apabila tewas kepada Wales menerusi penentuan pukulan penalti dalam aksi penentuan tempat ke-15 dan ke-16 di Belfius Hockey Arena, Belgium, hari ini.
Malaysia yang terikat 2-2 selepas 60 minit permainan akhirnya terpaksa akur apabila Wales memanfaatkan penentuan penalti untuk mencatat kemenangan 2-1 sekali gus menamatkan kempen di tempat ke-15.
Wales terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Benjamin Francis pada minit ke-29 selepas Malaysia gagal memanfaatkan beberapa peluang untuk mencipta kelebihan pada separuh masa pertama.
Speedy Tigers bagaimanapun bangkit selepas rehat apabila Faizal Saari menyamakan kedudukan pada minit ke-41 sebelum Akhimullah Anuar Esook menyumbat gol kedua Malaysia pada minit ke-52 untuk meletakkan skuad negara di depan.
Kelebihan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Liam Barker pantas menghukum kelalaian Malaysia seminit kemudian untuk mengembalikan kedudukan 2-2, sekali gus mengheret perlawanan ke penentuan pukulan penalti.
Dalam debaran penentuan itu, Fitri Saari muncul satu-satunya pemain Malaysia yang berjaya menyempurnakan pukulan penalti, namun usaha berkenaan tidak mencukupi untuk membawa skuad negara mengelak kekalahan.
Wales pula lebih klinikal apabila Jolyon Morgan dan Jack Pritchard masing-masing melepasi penjaga gol Malaysia untuk membantu mereka mengesahkan kemenangan 2-1 dalam penentuan penalti.
Keputusan itu menyaksikan Speedy Tigers terpaksa menutup kempen Piala Dunia 2026 di kedudukan ke-16, manakala Wales membawa pulang tempat ke-15 selepas mengharungi aksi penentuan yang penuh debaran. – UTUSAN










