Kenali individu di sebalik penghantaran foodpanda anda pada Hari Merdeka

Kenali individu di sebalik penghantaran foodpanda anda pada Hari Merdeka

PASUKAN kepimpinan foodpanda Malaysia yang diketuai oleh Pengarah Urusan Kenneth Soh turun padang bagi menunjukkan sokongan kepada 62 orang rakan penghantar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: foodpanda Malaysia membawa seramai 62 rakan penghantar menyertai Perbarisan Hari Kebangsaan tahun ini di Dataran Putrajaya, sekali gus menandakan tahun kedua syarikat itu mengambil bahagian dalam sambutan berkenaan.

Menjelang perbarisan itu, barisan kepimpinan dan pengurusan foodpanda Malaysia turun padang untuk bertemu serta memberikan sokongan kepada rakan penghantar ketika menjalani latihan.

Sebagai tanda penghargaan atas dedikasi mereka, setiap rakan penghantar yang mengambil bahagian turut menerima sepasang kasut larian eksklusif foodpanda x Voltra.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kebanyakan mereka bukanlah wajah asing kerana sudah bertahun-tahun bersama foodpanda, selain konsisten menyokong inisiatif kemasyarakatan dan membimbing rakan penghantar lain.

Awan dan Duwey masing-masing sudah lima tahun bersama foodpanda. Mereka pertama kali bertemu ketika bekerja di kawasan Balakong, Selangor sewaktu Awan merupakan ibu tunggal yang membesarkan dua anak.

Pasangan itu baru mendirikan rumah tangga dan terus bekerja sebagai rakan penghantar sambil membina kehidupan bersama.

Bagi Awan, pemilihannya merupakan detik membanggakan serta peluang mewakili komuniti rakan penghantar yang disertainya sejak lima tahun lalu.

“Kadangkala orang memandang rendah terhadap rakan penghantar. Pemilihan untuk menyertai Perbarisan Hari Kebangsaan membuatkan saya berbangga kerana kami dapat menunjukkan bahawa rakan penghantar juga sebahagian daripada negara ini dan memberikan sumbangan yang bermakna,” katanya.

Pengalaman di jalan raya turut memberikan pasangan itu pemahaman bersama mengenai keperluan bekerja dengan selamat dan kepentingan sikap saling menghormati.

“Kami berharap rakyat Malaysia dapat memahami pekerjaan kami dan menghormati rakan penghantar di jalan raya.

“Apabila hujan, kami juga berusaha untuk pulang dengan selamat. Jadi, sedikit pemahaman dan kerjasama boleh membawa perubahan besar.

“Pada masa sama, kami juga perlu menghormati pelanggan dan peniaga. Akhirnya, kita semua sebahagian daripada komuniti yang sama serta perlu saling membantu dan memahami,” kata Duwey.

KENNETH Soh (tengah) menyampaikan kasut larian eksklusif foodpanda x Voltra daripada foodpanda Malaysia kepada rakan penghantar yang mengambil bahagian.

Sementara itu, Casey Chuan yang bersama foodpanda sejak 2018 berkata, semangat setiakawan dalam kalangan rakan penghantar menjadi pendorongnya untuk terus bertahan sepanjang tempoh berkenaan.

Dia juga masih mengingati kebaikan individu yang ditemuinya ketika menjalankan tugas.

Ketika membuat penghantaran ke kawasan luar bandar, seorang pelanggan yang hanya memesan dua burger memberikan wang tip RM10 kepadanya sewaktu dia memerlukan pendapatan tambahan.

Pemberian itu menyentuh hatinya dan kekal dalam ingatannya hingga kini.

“Saya berasa sangat bertuah dan teruja mendapat peluang mewakili foodpanda. Saya dapat berdiri bersama kumpulan masyarakat berbilang kaum bagi menjayakan sambutan ini.

“Ia merupakan pengalaman yang akan saya kenang untuk tempoh lama,” kata Casey.

Bagi Gopinath Ramakasinan pula, pekerjaannya sebagai rakan penghantar turut membuka peluang yang lebih besar daripada sekadar memperoleh pendapatan.

Sebagai bapa tunggal, dia menyertai foodpanda ketika mencari pekerjaan fleksibel dan sumber pendapatan tambahan.

Sepanjang perjalanannya bersama syarikat itu, dia diberi peluang melanjutkan pengajian di universiti menerusi tajaan foodpanda dan kini sudah menamatkan pengajiannya.

“Sebagai rakan penghantar, saya bukan sahaja dapat mencari rezeki, malah diberi peluang meneruskan pendidikan serta mencapai salah satu impian saya.

“Menamatkan pengajian merupakan satu pencapaian yang amat saya banggakan,” kata Gopinath.

Walaupun mempunyai kisah berbeza, Perbarisan Hari Kebangsaan memberikan peluang kepada 62 rakan penghantar itu untuk bersama-sama berkongsi kebanggaan sebagai rakyat Malaysia.

Penyertaan tersebut mencerminkan semangat kempen Satu Rasa Bersama Merdeka oleh foodpanda Malaysia yang meraikan makanan Malaysia serta hubungan yang terjalin antara masyarakat melaluinya.

(Dari kiri) Khairul Jefri, Duwey, Awan, Azizah, Casey Chuan, Danny Raman, Gopinath & Zul Lukman

Pengarah Urusan foodpanda Malaysia, Kenneth Soh berkata, rakan penghantar merupakan tulang belakang syarikat itu yang menggerakkan operasi harian serta membolehkan pelanggan menerima perkhidmatan penghantaran secara konsisten.

“Kami berbangga kerana sumbangan dan komitmen rakan penghantar kami mendapat pengiktirafan dalam sambutan kebangsaan yang penting ini,” katanya.

Orang ramai boleh menyaksikan penyertaan 62 rakan penghantar itu dalam Perbarisan Hari Kebangsaan di Putrajaya atau menerusi siaran langsung.

Pengunjung juga dialu-alukan untuk memberikan sokongan dengan mengunjungi reruai foodpanda Malaysia yang menyediakan permainan interaktif, hadiah menarik dan peluang bergambar serta bertemu maskot ikoniknya, Pau-Pau.

Sebagai tawaran khas Hari Kebangsaan, pengunjung boleh menebus langganan pandapro percuma selama sebulan di reruai berkenaan, tertakluk kepada terma dan syarat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini