Ringgit dijangka kembali bawah RM4 sedolar AS dalam masa terdekat - Utusan Malaysia

Ringgit dijangka kembali bawah RM4 sedolar AS dalam masa terdekat

Mata wang tempatan berdepan risiko susut ke paras RM4.08 hingga RM4.12 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sekiranya Rizab Persekutuan (Fed) meneruskan kenaikan kadar faedah ketika inflasi AS kekal tinggi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit dijangka kembali didagangkan di bawah RM4 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh terdekat, didorong jangkaan pelonggaran dasar monetari Rizab Persekutuan (Fed) AS, aliran masuk pelaburan asing serta prestasi ekonomi domestik yang stabil.

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, ringgit kini berada dalam fasa stabil kepada sedikit mengukuh, dengan pembukaan dagangan pada 4.0235 pada Khamis menunjukkan mata wang tempatan kekal kukuh di bawah paras 4.03 berbanding minggu-minggu sebelumnya.

Ujarnya, dalam tempoh satu hingga tiga bulan akan datang, ringgit dijangka bergerak dalam julat RM3.95 hingga RM4.05 berbanding dolar AS.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Antara faktor yang menyokong ringgit ialah aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan sektor pusat data yang kekal kukuh.

“Harga minyak yang masih disokong pada paras melebihi AS$80 (RM321.98) setong turut membantu kedudukan akaun semasa Malaysia, manakala sentimen untuk menjual dolar AS muncul selepas data ekonomi negara itu menunjukkan tanda-tanda ekonomi mula sejuk,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, Aimi Zulhazmi berkata, ringgit memerlukan pemangkin lebih besar untuk mengukuh di bawah paras 3.95 berbanding dolar AS.

Jelasnya, data domestik seperti pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku kedua, inflasi dan keyakinan pelabur terhadap pelaksanaan reformasi fiskal kerajaan turut menjadi penentu kepada prestasi ringgit.

“Jika pelabur melihat Malaysia mampu mengurus ekonomi dengan baik, ringgit akan mendapat sokongan.

“Jadi, ringgit memang boleh bergerak di bawah paras 4.00, tetapi ia bergantung kepada sama ada Fed benar-benar beralih kepada dasar monetari yang lebih longgar atau sebaliknya,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, pengukuhan dolar AS kekal sebagai cabaran terbesar kepada ringgit dalam tempoh terdekat dan sebarang kejutan daripada data pekerjaan atau inflasi AS yang lebih tinggi daripada jangkaan boleh menyebabkan Fed menangguhkan penurunan kadar faedah, sekali gus mengukuhkan semula dolar AS.

“Situasi itu berpotensi menyebabkan ringgit kembali lemah ke paras 4.05 hingga 4.08.

“Pasaran kini menantikan kenyataan Pengerusi Fed pada simposium Jackson Hole. Kenyataan yang lebih agresif boleh menghapuskan sebahagian besar pengukuhan ringgit dalam tempoh singkat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, mata wang negara berpotensi kembali didagangkan di bawah RM4 berbanding dolar AS dalam masa terdekat.

“Selain daripada faktor kadar faedah di AS, faktor asas ekonomi Malaysia yang baik seperti pertumbuhan yang mampan, lebihan imbangan dagangan serta dasar ekonomi yang bersifat reformis juga boleh membantu dalam meningkat nilai ringgit.

“Buat masa ini, isu campur tangan Perbendaharaan AS dalam pasaran bon untuk merendahkan kadar hasil bon kerajaan AS bertempoh matang 30 tahun telah memberi suatu suntikan positif kepada mata wang asing termasuk ringgit,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN