PUTRAJAYA: Bekas Pengerusi Tabung Haji (TH) yang juga seorang ahli politik ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan susulan isu yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.
Perintah reman bermula hari ini sehingga 2 September itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Terdahulu, individu berusia lingkungan 60-an yang memakai pakaian lokap jingga berlogo SPRM dan bergari itu tiba di mahkamah sekitar pukul 9.30 pagi diiringi pegawai SPRM, sebelum keluar kira-kira lima jam kemudian.
Selain itu, seorang bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) turut direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes tersebut.
Kedua-dua individu terbabit kemudiannya dilihat meninggalkan kompleks mahkamah sekitar pukul 2.30 petang dengan menaiki van SPRM.
Sementara itu, peguambela, Datuk Abu Bakar Isa Rahmat ketika ditemui memaklumkan anak guamnya yang juga bekas Pengerusi TH disiasat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.
Manakala, bekas KSP terbabit diwakili peguam, Datuk Seri K Kumaraendran dan Lavinia Kumaraendran.
Media semalam melaporkan, berdasarkan sumber dari laman TikTok SPRM mendedahkan, kedua-dua individu lelaki berusia dalam lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira pukul 4 petang ketika hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Pada 21 Ogos lalu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Bekas CEO Lembaga TH berkenaan kemudiannya disambung reman selama empat hari bermula esok sehingga 31 Ogos, selepas tempoh tahanan reman beliau berakhir hari ini.
Laporan RCI mengenai TH yang dimuat naik di portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) antara lain mencadangkan supaya audit forensik dijalankan untuk meneliti bagaimana keputusan pelaburan yang lalu dibuat sehingga menyebabkan TH berhadapan dengan penurunan nilai aset yang teruk.
Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi TH daripada 2014 hingga 2020 itu turut menyenaraikan pelaburan bermasalah yang memerlukan audit forensik.
RCI berkenaan mendapati wujudnya transaksi yang mencurigakan dan penyembunyian maklumat. – UTUSAN











