Vietnam juara Piala ASEAN

Vietnam juara Piala ASEAN

Vietnam muncul juara Piala ASEAN 2026 selepas menewaskan Thailand menerusi kemenangan agregat 4-2, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANOI: Vietnam mempertahankan kejuaraan Piala ASEAN selepas mengikat Thailand 2-2 dalam aksi final kedua di Stadium Nasional My Dinh, semalam, sekali gus memastikan kemenangan agregat 4-2.

Juara edisi 2024 itu bagaimanapun berdepan tentangan sengit Thailand yang tampil lebih berani selepas ketinggalan 0-2 daripada aksi final pertama di Stadium Rajamangala, Bangkok pada Sabtu lalu.

Thailand membuka tirai jaringan seawal minit ke-12 menerusi Yotsakorn Burapha yang melepaskan rembatan deras hasil gerakan daripada Nattapong Sayriya dan Seksan Ratree.

Memuatkan artikel berkaitan…

Vietnam hampir menyamakan kedudukan pada separuh masa pertama menerusi tandukan Rafaelson, namun percubaannya sekadar menggegar palang.

Memasuki babak kedua, Thailand berpeluang menyamakan kedudukan secara agregat selepas dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-48 susulan kekasaran terhadap Kakana Khamyok.

Namun, Kakana gagal memanfaatkan peluang berkenaan apabila sepakannya melambung tinggi melepasi palang.

Kegagalan itu akhirnya memakan diri apabila Vietnam menyamakan kedudukan hanya empat minit kemudian menerusi gol sendiri Chatchai Budprom selepas bola daripada Hendrio terkena tiang sebelum melantun mengenai kaki pertahanan Thailand itu dan masuk ke gawang.

Thailand terus memburu gol untuk menghidupkan peluang, namun Vietnam beberapa kali hampir menambah jaringan menerusi Hêndrio dan Tien Anh.

Thailand akhirnya memperoleh gol kedua pada minit ke-85 menerusi Wanchai Jarunongkran yang mengambil kesempatan daripada kesilapan Tien Anh untuk melepaskan rembatan ke penjuru bawah gawang.

Bagaimanapun, usaha Thailand untuk melengkapkan kebangkitan berkubur pada minit ketiga masa kecederaan apabila Wanchai sekali lagi menjadi tumpuan selepas tersilap melakukan hantaran keluar yang akhirnya menerjah gawang sendiri.

Keputusan 2-2 itu memastikan Vietnam muncul juara dengan kemenangan agregat 4-2, sekali gus mempertahankan kejuaraan ASEAN buat kali pertama dalam sejarah.

Kejayaan itu turut menyaksikan Vietnam mengumpul kejuaraan serantau keempat selepas sebelum ini muncul juara pada 2008, 2018 dan 2024. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini