PETALING JAYA: Dua kumpulan muzik tempatan, OAG dan The Times bakal berkongsi pentas menerusi konsert Disko Dansa Generasiku di Odeon Kuala Lumpur pada 10 Oktober depan.
Pertemuan dua kumpulan daripada generasi berbeza itu dijangka mengimbau kembali perjalanan muzik alternatif tempatan yang berkembang sejak era 1990-an hingga pertengahan 2000-an.

Vokalis OAG, Radhi berkata, konsert berkenaan bukan sekadar menghimpunkan dua kumpulan dalam satu persembahan, sebaliknya meraikan perjalanan muzik alternatif Malaysia yang merentasi generasi.
“Konsert ini bukan sekadar tentang OAG atau The Times, tetapi tentang perjalanan muzik alternatif Malaysia yang saling bersambung dari satu generasi ke generasi yang lain.
“Kami mahu penonton datang bukan sahaja untuk menyanyi bersama, tetapi untuk menghidupkan semula memori dan meraikan muzik yang pernah menjadi sebahagian daripada hidup mereka,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
OAG yang ditubuhkan pada 1992 mencipta nama menerusi lagu seperti “60’s TV” dan “Generasiku”, manakala The Times yang ditubuhkan pada 2004 popular menerusi lagu “Gadisku Dalam Koma”, “Pesona Algebra” dan “Mawar Liar”.

Menurut Naza, Disko Dansa Generasiku menjadi peluang untuk mempertemukan semula peminat yang membesar dengan muzik kedua-dua kumpulan berkenaan.
“Ramai yang membesar dengan OAG pada era 90-an, dan ramai juga yang menemui muzik melalui The Times pada tahun 2000-an.
“Konsert ini ibarat satu titik pertemuan antara dua generasi dan juga generasi baharu yang belum pernah mendengar lagu OAG dan The Times,” katanya.
Naza turut membayangkan beberapa kejutan bakal dipersembahkan The Times termasuk daripada aspek lagu, susunan persembahan dan beberapa momen yang tidak dijangka peminat.
Tiket konsert berkenaan ditawarkan pada harga RM139 bagi kategori berdiri, manakala tiket duduk berharga RM189 dilaporkan sudah habis terjual.
Maklumat lanjut mengenai konsert dan pembelian tiket boleh didapati menerusi laman sesawang rasmi OAG dan The Times.











