TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengakui parti Likud pimpinannya berdepan risiko kalah dalam pilihan raya legislatif akan datang sekiranya tiada perubahan dilakukan.
Dalam perbincangan tertutup, Netanyahu dilaporkan mengakui Likud kehilangan 10 kerusi dan berkata beliau sendiri tidak tahu bagaimana untuk mendapatkannya semula, menurut penyiar awam Israel, KAN.
Kenyataan itu menunjukkan Netanyahu meragui tinjauan pendapat yang kini memihak kepadanya dan menganggap sokongan sebenar terhadap Likud mungkin lebih rendah daripada yang ditunjukkan dalam tinjauan.
Beberapa tinjauan menunjukkan sokongan terhadap Likud semakin merosot, manakala parti Yashar yang diketuai bekas panglima tentera, Gadi Eisenkot, semakin mendapat sokongan.
Bagaimanapun, tinjauan yang dijalankan kumpulan yang rapat dengan blok kanan Israel menunjukkan keputusan lebih memihak kepada Netanyahu.
Tinjauan Channel 13 Israel pada Rabu mendapati sekiranya pilihan raya diadakan ketika ini, parti Eisenkot dijangka memenangi 24 kerusi, turun dua kerusi berbanding tinjauan minggu lalu.
Likud pula dijangka memperoleh 19 kerusi, berbanding 23 kerusi dalam tinjauan sebelumnya.
Secara keseluruhan, blok parti pembangkang Yahudi yang diketuai Eisenkot dijangka meraih 57 kerusi, mengatasi blok gabungan Netanyahu dengan 48 kerusi, manakala parti Arab dijangka memperoleh 15 kerusi.
Kerajaan Israel memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 61 ahli Parlimen daripada keseluruhan 120 kerusi di Knesset untuk membentuk kerajaan.
Bagi kesesuaian calon untuk perdana menteri, Eisenkot mendahului Netanyahu dengan 46 peratus sokongan, berbanding 35 peratus bagi Netanyahu, manakala 19 peratus responden berkata mereka tidak tahu, menurut tinjauan sama.
Pilihan raya umum Israel dijadualkan berlangsung pada 27 Oktober dan dilihat penting bagi masa depan politik Netanyahu ketika beliau berdepan tuduhan rasuah, pemerintahan autoritarian serta kegagalan dalam kepimpinan.
Netanyahu, 76, mengetuai kerajaan yang disifatkan sebagai paling berhaluan kanan dalam sejarah Israel sejak akhir Disember 2022.
Beliau juga dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas dakwaan jenayah perang yang dilakukan di Gaza susulan perang Israel di wilayah itu yang bermula pada Oktober 2023.










