MUKADIMAH
Muktamar Pas Ke-72 di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, Kelantan minggu depan yang diadakan sempena sambutan jubli intan Pas ke-75, dimulakan dengan perbahasan Dewan Pemuda parti itu bermula 2 September ini.
Sejak sekian lama, Dewan Pemuda Pas menjadi sayap penting parti tersebut yang banyak mencetuskan idea baharu dalam menyambung perjuangan dan gerak kerjanya. Oleh itu, intipati perbahasan dan perbincangan perwakilan Pemuda Pas pasti menjadi tumpuan apatah lagi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) semakin hampir selain berlakunya perubahan besar landskap politik khususnya selepas Pilihan Raya Kecil (PRN) Johor dan PRN Negeri Sembilan.
Wartawan Utusan Malaysia, MOHD. SHARIZA ABDULLAH mendapatkan pandangan Pengarah Pilihan Raya Pemuda Pas, DR. TENGKU MUHAMMAD FAKHRUDDIN TENGKU MUHAMMAD FAUZI mengenai muktamar berkenaan yang turut menyaksikan kemunculan pemimpin UMNO di pentas persidangan parti memperjuang agenda Melayu Islam itu.
Apakah kepentingan muktamar kali ini?
Ia dijangka muktamar terakhir sebelum PRU16. Dalam keadaan suasana politik yang panas dan tidak dijangka, muktamar kali ini penting untuk menentukan hala tuju Pas dalam mendepani pilihan raya umum dan menyediakan asas kepada keyakinan rakyat terhadap kemampuan Pas menjadi teraju politik negara selepas PRU16.
Usul utama yang dijangka dibahaskan Pemuda Pas?
Berkaitan penyatuan ummah dan usul tegas mengenai keadaan ekonomi negara yang semakin tenat. Selain itu akan ada usul untuk Pemuda Pas mengadakan satu himpunan politik yang besar sebagai kesinambungan himpunan diadakan sebelum ini.
Dalam situasi politik yang banyak berubah selepas PRN Johor dan Negeri Sembilan, apakah perbincangan yang perlu diberi tumpuan?
Perbincangan yang penting adalah hala tuju penyatuan ummah dan gabungan politik yang baharu untuk hadapi PRN. Selain itu, muktamar ini perlu dipersiapkan sebagai government in making (kerajaan dalam pembentukan). Pas kena bersedia mentadbir negara dan perwakilan Pas kena bersedia sebagai sebuah kerajaan.
Bagaimana YB melihat kehadiran wakil UMNO?
Ia memberi gambaran tentang kerjasama politik di PRN Melaka dan PRU16.
Mesej yang perlu disampaikan kepada pucuk kepemimpinan?
Ketepikan perbezaan politik untuk penyatuan ummah. Selain itu perjuangkan hak rakyat yang makin tertekan dengan kenaikan kos sara hidup dan bincangkan polisi alternatif yang Pas sediakan apabila mentadbir kerajaan.











