Penduduk Selatan Thailand hanya mahu keamanan 

Penduduk Selatan Thailand hanya mahu keamanan 

PENDUDUK Selatan Thailand mahu rundingan damai segera dilaksanakan bagi memastikan keamanan kembali pulih di Wilayah Pattani, Narathiwat dan Yala. - UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Penduduk Selatan Thailand kini hanya mahu satu perkara iaitu perda­maian segera bagi membolehkan me­reka kembali menjalani ke­hi­dupan tanpa rasa takut selepas lebih dua dekad hidup berdepan insiden letupan dan keganasan.

Mereka mahu proses damai antara kerajaan Thailand dan kumpulan bersenjata di wilayah berkenaan dipercepatkan bagi menamatkan konflik yang telah berlarutan selama 21 tahun, sekali gus memberi peluang kepada penduduk menjalani kehidupan harian dan mencari rezeki dengan lebih aman.

Seorang penduduk Patta­ni yang mahu dikenali sebagai Komariyah, 29, berkata, konflik berpanjangan di tiga wilayah berkenaan bukan sahaja mengancam keselamatan penduduk, malah turut menjejaskan kegiatan ekonomi masyarakat Islam di kawasan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, ia bukan sahaja tidak dapat menjalankan perniagaan seperti biasa, malah terpaksa mengehadkan pergerakan kerana bimbang keselamatan diri dan keluarga.

“Keamanan segera sangat diperlukan supaya penduduk dapat menjalankan aktiviti harian tanpa perlu sentiasa memikirkan kemungkinan berlaku insiden yang boleh mengancam keselamatan mereka.

“Kami penduduk mahu hidup seperti orang lain, boleh keluar bekerja dan menjalankan urusan harian tanpa rasa takut.

“Walaupun sudah lali dengan insiden letupan bom, perasaan takut tetap ada dalam diri. Saya harap proses rundingan damai dapat segera dijalankan supaya kawasan ini kembali aman. Bila aman, dapatlah kami keluar mencari rezeki dengan baik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Akhbar ini melaporkan insiden keganasan dan letupan bom di 51 lokasi di selatan Thailand Sabtu lalu menyebabkan penduduk ketakutan dan lebih berwaspada.

Majoriti mereka memilih un­tuk berkurung di rumah ter­utama pada waktu malam kerana serangan seterusnya boleh berlaku pada bila-bila masa.

Serangan bermula sekitar pukul 8 malam merangkumi pengeboman, pembakaran pe­jabat dan kenderaan kerajaan, letupan menara telekomunikasi, rompakan, letupan kedai serbaneka serta pembakaran tayar, selain turut mencederakan orang awam.

Komariyah berkata, proses damai yang dapat dilaksanakan secara berkesan juga diyakini mampu memberikan keyakinan kepada penduduk untuk meneruskan kehidupan dan kegiatan ekonomi seperti biasa.

“Penduduk mahu hidup seperti orang lain, boleh keluar bekerja dan menjalankan urusan harian tanpa rasa takut,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi rakyat Thailand yang mahu dikenali Hisyam, 45, berkata, dia lebih selesa mencari rezeki di Malaysia susulan ketegangan yang tidak berkesudahan di negaranya itu.

“Di sana susah cari makan, ditambah pula kerap berlaku insiden letupan bom, makin terkesan. Situasi tegang itu boleh menjejaskan urusan perniagaan,  kalau kedai makan buka waktu malam, kurang pengunjung masing-masing takut nak keluar.

“Jika ada penduduk keluar malam hanya di kedai kopi berdekatan rumah. Pukul 10 malam di kawasan perkampungan kami sudah sunyi, masing-masing berada di rumah. Berbanding di Malaysia, pukul 10 malam masih rancak berniaga walau pun kawasan kampung,” ujarnya.

Hisyam berkata, dia pulang ke kampung halaman semasa hari raya, kenduri dan kematian sahaja.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini