Jerebu Selangor: Bacaan IPU di empat kawasan di tahap tidak sihat

Jerebu Selangor: Bacaan IPU di empat kawasan di tahap tidak sihat

Selangor IPU
ORANG ramai dinasihatkan memakai pelitup muka jika terpaksa berada di luar bagi mengurangkan pendedahan kepada jerebu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan negeri menasihatkan penduduk di bandar raya ini, Johan Setia, Banting dan Klang supaya menghadkan aktiviti atau pergerakan di luar rumah susulan peningkatan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di kawasan berkenaan.

Saranan mengurangkan pergerakan di luar rumah terutamanya kepada kanak-kanak, warga emas, wanita mengandung serta pesakit jantung dan penyakit respiratori.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, kualiti udara merudum di kawasan berkenaan dan melepasi kadar yang tidak sihat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, susulan itu Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini mengaktifkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan melalui Jabatan Alam Sekitar.

“Pagi tadi, kawasan di pesisir Pantai Barat seperti Johan Setia, Banting, Klang sehingga ke Shah Alam mengalami kualiti udara yang merudum selepas bacaan IPU melepasi kadar yang tidak sihat.

“Sekolah-sekolah di seluruh negeri diberikan notis langkah awalan yang perlu diambil bagi melindungi para pelajar, terutamanya di dalam kawasan bacaan IPU melebihi 100. Sekolah, tadika, dan pusat penjagaan kanak-kanak perlu ditutup sekiranya bacaan mencecah 200,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

ADS:D

Sementara itu, semakan Utusan Malaysia terhadap IPU di Banting, Johan Setia, Klang dan Shah Alam mendapati bacaannya adalah 150 iaitu berada pada tahap tidak sihat.

Jelas Jamaliah, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin akan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri esok bagi memperinci langkah tambahan mengurangkan kesan jerebu.

“MMKN menetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan meningkatkan pemantauan bagi mengelakkan kes pembakaran terbuka, terutamanya di kawasan perumahan, komersial, ataupun perindustrian.

“Mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam aktiviti pembakaran terbuka akan dikenakan tindakan tegas selaras di bawah Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan denda antara RM25,000 hingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya,” ujarnya.

Tambahnya lagi, mereka yang mengalami masalah kesihatan seperti batuk, sesak nafas atau asma hendaklah mendapatkan rawatan dengan segera, sekiranya keadaan bertambah teruk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN