Untung bersih Public Bank RM1.83 bilion pada suku kedua - Utusan Malaysia

Untung bersih Public Bank RM1.83 bilion pada suku kedua

Menara Public Bank di Jalan Ampang. - UTUSA/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Public Bank Berhad meraih untung bersih sebanyak RM1.83 bilion pada suku kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, berbanding RM1.76 bilion pada suku sama tahun sebelumnya.

Dalam makluman di Bursa Malaysia, kumpulan merekodkan hasil sebanyak RM7.6 bilion pada suku sama daripada RM7.4 bilion pada tempoh sama 2025.

Bagi enam bulan pertama, kumpulan mencatatkan untung bersih sebanyak RM3.57 bilion berbanding RM3.51 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya, manakala hasil sebanyak RM14.93 bilion daripada RM14.66 bilion.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sementara itu, keuntungan operasi meningkat sebanyak 3.4 peratus, terutamanya disokong oleh pertumbuhan kukuh sebanyak 12.2 peratus dalam pendapatan bukan faedah dan bukan pembiayaan.

Bank berkata, pertumbuhan pendapatan faedah dan pembiayaan bersih menjadi sederhana kepada 0.5 peratus dalam pasaran pinjaman dan deposit yang sangat kompetitif.

Bagi separuh pertama 2026, jumlah pinjaman dan deposit kumpulan masing-masing mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 5.9 peratus dan 4.7 peratus.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Dr. Tay Ah Lek berkata, lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 10.5 sen sesaham, mewakili jumlah pembayaran sebanyak RM2.04 bilion, disokong oleh pendapatan Kumpulan yang berdaya tahan dan kedudukan modal yang kukuh.

Katanya, dividen interim pertama itu dijadualkan dibayar pada 23 September 2026, manakala tarikh kelayakan dividen adalah pada 11 September 2026.

Mengulas mengenai prospek 2026, beliau berkata, tekanan inflasi dan harga tenaga yang lebih tinggi kekal menjadi kebimbangan utama terhadap pertumbuhan ekonomi global.

“Bagaimanapun, pasaran buruh yang berdaya tahan dan langkah dasar yang menyokong pertumbuhan di ekonomi utama akan terus menyokong ekonomi global.

“Prospek ekonomi bagaimanapun kekal tidak menentu susulan konflik di Asia Barat. Ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang secara positif, disokong permintaan domestik yang berdaya tahan, asas ekonomi yang kukuh serta langkah dasar sokongan kerajaan yang terus membantu mengurangkan kesan kejutan negatif,” ujarnya.

Ah Lek berkata, berdepan cabaran global yang ketara, kumpulan akan terus berwaspada dalam pendekatan perniagaannya.

“Pada masa sama, kumpulan terus melihat peluang yang semakin berkembang susulan ekonomi domestik yang berdaya tahan dan akan terus memperkukuh keupayaan terasnya bagi mengoptimumkan nilai kepada pihak berkepentingan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini