PETALING JAYA: Raja-raja Melayu bertitah meminta umat Islam di negara ini mengetepikan persengketaan termasuk perbezaan politik sebaliknya menumpukan usaha memperkukuh perpaduan dan penyatuan ummah.
Sempena sambutan Maulidur Rasul 1448H yang berlangsung semalam, umat Islam turut diminta mengukuhkan ukhuwah dan mempamerkan akhlak terpuji sebagai contoh kepada seluruh masyarakat.
Pada masa sama, rakyat tanpa mengira latar belakang digesa memelihara perpaduan dan mengamalkan sikap saling menghormati bagi memastikan kehidupan masyarakat terus harmoni dalam suasana toleransi.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, pemimpin, pertubuhan dan gerakan yang membawa nama Islam perlu mengurangkan persengketaan dan menumpukan tenaga kepada usaha memperkukuh dan menggemilangkan identiti ummah.
Titah baginda, usaha memperkasa ummah perlu diberikan keutamaan ketika kesatuan umat Islam berdepan pelbagai cabaran termasuk perbezaan politik, mazhab, bangsa dan kepentingan.
Menurut baginda, tarikan kepada pengaruh, pangkat, jawatan, harta dan kemewahan dunia juga semakin mengatasi semangat persaudaraan sehingga konsep ukhuwah semakin dipinggirkan.
“Pemimpin Islam, badan dan gerakan atas nama Islam sebaiknya kurang bersengketa dan minimumkan berpolitik tetapi lebih afdal mengutamakan perhatian, tenaga dan gerakan untuk menyokong dan membantu usaha-usaha yang berpotensi menggemilangkan identiti ummah.
“Amatlah menggalakkan dan sewajarnya kita bersyukur kerana ketika pemimpin dan kabilah-kabilah politik memilih untuk bersaing dan bersengketa turut terdapat individu dan kumpulan yang merintis usaha-usaha positif.
“Menggerakkan dan mengusahakan kesedaran terhadap pendidikan Islam, ekonomi Islam, kewangan Islam, industri halal, wakaf, dakwah digital dan pengukuhan institusi keluarga. Usaha-usaha positif ini wajib diperluas, diperkukuh dan dijayakan,” titah baginda pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1448H Peringkat Negeri Perak di Ipoh, Perak, semalam.
Menurut baginda, identiti ummah kini tidak lagi seragam berikutan umat Islam wujud dalam pelbagai negara, budaya dan sistem politik serta terdedah kepada pelbagai pengaruh perubahan zaman.
Baginda bertitah, walaupun identiti keagamaan masih kuat, tahap penghayatan menunjukkan perbezaan apabila sebahagian umat Islam hanya mewarisi agama melalui kelahiran tanpa pengertian dan penghayatan yang sebenar.
“Meskipun Islam masih menjadi sumber pegangan namun dalam kalangan sebahagian ummah, Islam lebih kelihatan pada simbol dan ritual, sedangkan prinsip dan nilai-nilai asas Islam seperti amanah, jujur, adil, akhlak, disiplin, ilmu, malu dan ihsan semakin tidak diterjemahkan atau diamalkan dalam kehidupan,” titah baginda.
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pula menyeru umat Islam supaya tampil membawa wajah Islam yang sebenar dengan mengangkat nilai kasih sayang, hikmah dan ihsan ketika dunia terus dihimpit konflik, peperangan serta krisis kemanusiaan.
Baginda bertitah, perkembangan yang berlaku di Palestin dan beberapa wilayah Islam bergolak menjadi peringatan bahawa keamanan bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.
Baginda turut menyeru umat Islam memperkukuh perpaduan, memperbanyakkan doa serta menghulurkan bantuan mengikut kemampuan selain terus menjadi contoh akhlak yang baik kepada seluruh masyarakat.
“Beta berharap seluruh rakyat Negeri Kedah dapat terus memelihara perpaduan serta keamanan yang telah lama menjadi kekuatan Negeri Kedah Darul Aman.
“Perbezaan latar belakang, bangsa dan pegangan tidak seharusnya menjadi jurang pemisah sebaliknya menjadi asas untuk saling memahami dan menghormati.
“Semangat saling membantu dan bertoleransi hendaklah terus dipupuk demi kesejahteraan negeri yang kita cintai ini,” titah baginda pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kedah 1448H/2026M di Alor Setar, Kedah, semalam.
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pula bertitah, pemimpin dan rakyat di Negeri Sembilan hendaklah memperkukuhkan tali persaudaraan serta menyemai budaya saling menghormati antara satu sama lain tanpa mengira perbezaan kaum dan agama.
Menurut baginda, sebarang permasalahan wajar diurus dengan penuh hikmah dan toleransi manakala perpaduan serta keharmonian harus sentiasa didahulukan agar negeri ini terus dilimpahi keamanan dan kemakmuran.
“Beta menegaskan bahawa pegangan terhadap agama dan penghormatan terhadap adat perlu terus diperkukuh kerana kedua-duanya merupakan asas penting dalam membentuk peribadi, akhlak dan peradaban masyarakat. Beta mengingatkan agar Rukun Negara difahami, sentiasa dihayati dan dijadikan pedoman dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
Sementara itu, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman mengingatkan rakyat negeri itu untuk terus memperkukuh perpaduan, selain menghindari sebarang bentuk permusuhan dan sentiasa mengutamakan perkara yang menyatukan masyarakat.-UTUSAN.











