SUNGAI PETANI: Penemuan satu mayat lelaki berusia lingkungan 30-an di Kampung Sungai Division, di sini pada Ahad lalu disyaki sebagai kes bunuh.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal percaya terdapat unsur jenayah dalam kejadian itu yang dilaporkan kepada polis pada pukul 6.55 petang.
“Mayat itu dipercayai baru sahaja meninggal dunia ketika dijumpai, namun identiti mangsa belum dapat dikenal pasti. Kita telah memperoleh nama panggilan mangsa tetapi identiti sebenar masih dalam proses pengesahan,” katanya di sini hari ini.
Beliau meminta mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga atau orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – UTUSAN










