Keamanan tidak boleh dipandang ringan - Sultan Kedah

Keamanan tidak boleh dipandang ringan – Sultan Kedah

SULTAN Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan bertitah pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kedah Darul Aman 2026M/1448H di Wisma Darul Aman, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menyeru umat Islam supaya tampil membawa wajah Islam yang sebenar dengan mengangkat nilai kasih sayang, hikmah dan ihsan ketika dunia terus dihimpit konflik, peperangan serta krisis kemanusiaan.

Baginda bertitah, perkembangan yang berlaku di Palestin dan beberapa wilayah Islam yang bergolak menjadi peringatan bahawa keamanan bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.

Sultan Sallehuddin turut menyeru umat Islam memperkukuh perpaduan, memperbanyakkan doa serta menghulurkan bantuan mengikut kemampuan, selain terus menjadi contoh akhlak yang baik kepada seluruh masyarakat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Beta berharap seluruh rakyat Negeri Kedah dapat terus memelihara perpaduan serta keamanan yang telah lama menjadi kekuatan Negeri Kedah Darul Aman.

“Perbezaan latar belakang, bangsa dan pegangan tidak seharusnya menjadi jurang pemisah, sebaliknya menjadi asas untuk saling memahami dan menghormati.

“Semangat saling membantu dan bertoleransi hendaklah terus dipupuk demi kesejahteraan negeri yang kita cintai ini,” titah baginda pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul S.A.W. Peringkat Negeri Kedah Darul Aman 2026M/1448H di Wisma Darul Aman, hari ini.

Berangkat sama, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin. Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan barisan kepemimpinan kerajaan negeri.

Sementara itu, Sultan Sallehuddin bertitah, kekuatan sebenar Rasulullah juga terletak pada kemurnian akhlak, kasih sayang, kejujuran dan sifat ihsan yang dizahirkan baginda dalam setiap tindakan.

“Nilai-nilai inilah yang berjaya menyatukan manusia daripada pelbagai latar belakang, sehingga terbina sebuah tamadun yang berteraskan keadilan dan kemanusiaan.

“Malah, sejarah telah membuktikan bahawa keagungan Nabi Muhammad S.A.W bukan sahaja diakui oleh umat Islam, malah turut dihormati oleh ramai tokoh dunia,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini