PETALING JAYA: Penerbit eksekutif dan pengarah Puteri Gunung Ledang The Musical (PGL), Tiara Jacquelina, tidak menolak kemungkinan teater muzikal ikonik itu dipentaskan semula susulan sambutan luar biasa yang diterima.
Bagaimanapun, menurut Tiara, pihaknya belum mengesahkan sebarang pementasan tambahan buat masa ini, sebaliknya memberi tumpuan sepenuhnya kepada pementasan yang dijadualkan November ini.
Katanya, beberapa pihak sudah menghubungi pasukan produksi untuk mengadakan perbincangan awal mengenai kemungkinan membawa PGL ke lokasi lain, termasuk beberapa negeri di Malaysia.
“Sudah ada beberapa pihak yang menghubungi kami dan melakukan perbincangan awal mengenai kemungkinan meneruskan perjalanan PGL selepas musim ini, termasuk minat dari beberapa negeri lain di Malaysia.
“Belum ada apa-apa yang dapat kami sahkan dan fokus mutlak kami sekarang adalah untuk memberikan sebuah persembahan yang luar biasa untuk pementasan November ini.
“Tetapi selepas melihat sambutan luar biasa ini, kami akan mempertimbangkan dengan serius tawaran yang datang dan apa yang boleh kami lakukan selepas ini,” katanya menerusi kenyataan akhbar.
Menurut Tiara, PGL mencipta fenomena apabila semua tiket yang dibuka semalam habis terjual dalam tempoh hanya dua jam selepas jualan kepada umum dibuka.
Lebih mengejutkan, lebih 22,000 orang masih berada dalam senarai menunggu secara dalam talian sehingga jam 10 malam, sekali gus menggambarkan permintaan terhadap produksi berkenaan jauh melebihi kapasiti tempat duduk yang tersedia bagi musim kali ini.
Bagi Tiara, sambutan luar biasa itu memberikan semangat kepadanya, apatah lagi selepas lebih dua dekad sejak muzikal berkenaan pertama kali dipentaskan.
“Sejujurnya, saya sendiri hampir kehilangan kata-kata melihat sambutan semalam.
“Dua puluh tahun selepas kami pertama kali membawa Puteri Gunung Ledang ke pentas, tidak sangka bahawa rakyat Malaysia masih menyimpan cerita ini begitu dekat di hati mereka.
“Kini ada pula generasi baharu yang begitu teruja mahu mengenalinya. Ia sangat menyentuh hati saya,” katanya.
Menurutnya, fenomena berkenaan membawa makna lebih besar daripada sekadar kejayaan sesebuah produksi kerana ia menunjukkan penonton tempatan masih dahagakan karya yang mengangkat cerita dan bakat Malaysia.
“Bagi saya, ini bukan sekadar cerita tentang PGL. Ini satu petanda yang sangat menggalakkan untuk teater Malaysia dan seni persembahan negara.
“Ia menunjukkan bahawa penonton kita dahagakan cerita kita sendiri, bakat kita sendiri dan produksi tempatan yang lahir daripada kreativiti rakyat Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Tiara berharap sambutan sedemikian dapat memberikan keyakinan kepada lebih banyak pihak untuk terus menyokong serta melabur dalam perkembangan industri seni persembahan tempatan.
Sementara itu, bagi Tiara dan pasukan kreatif Enfiniti, kejayaan menjual semua tiket meningkatkan tanggungjawab mereka untuk memastikan pementasan kali ini mampu memenuhi harapan penonton.
“Buat masa ini, saya cuba untuk tidak terlalu terbuai dengan angka-angka ini. Tanggungjawab saya sangat mudah, iaitu kami mesti menyampaikan yang terbaik.
“Bukan sekadar memenuhi apa yang penonton ingat atau jangkakan, kami mesti lebih hebat daripada apa yang mereka jangkakan,” katanya.
Puteri Gunung Ledang The Musical akan dipentaskan dari 31 Oktober hingga 15 November 2026 di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square. -UTUSAN










