Tolong jangan pentingkan diri - Utusan Malaysia

Tolong jangan pentingkan diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BIARPUN rambut sama hitam, tetapi fiil tetap berbeza. Ada orang menjalani kehidupan dengan penuh kesabaran dan reda terhadap apa yang berlaku. Ada orang menempuhi perjalanan hidup ini dengan mood ber­ubah-ubah. Kadangkala gembira, ada kala sedih, ada waktu dia memberontak.

Ada juga orang yang hidupnya pentingkan diri sendiri tanpa menghiraukan orang lain. Itulah lumrah kehidupan yang perlu kita fahami dan hadapi dalam kehidupan bermasyarakat berbilang agama, bangsa dan kaum.

Sikap pentingkan diri merupakan satu sifat negatif yang boleh memberi kesan buruk kepada hubungan sesama manusia. Individu yang mementingkan diri sendiri sering meletakkan kepentingan peribadi meng­atasi keperluan dan perasaan orang lain. Dalam kehidupan bermasyarakat, sikap ini boleh menjejaskan keharmonian, mengurangkan semangat kerjasama dan menimbulkan pelbagai konflik.

Contoh yang ketara orang yang pentingkan diri dapat dilihat ialah sewaktu kesesakan jalan raya. Mereka akan memintas kenderaan lain dengan memandu di lorong kecemasan ataupun mereka memotong ken­deraan lain yang berbaris untuk masuk simpang susur tanpa mereka menyusuli di belakang. Pemandu sebeginilah yang menjadi punca kemalangan atau kesesakan lalu lintas.

Selain itu, banyak lagi contoh yang menggambarkan sikap pentingkan diri seperti tidak mahu berkongsi tugas, mengabaikan kebersihan awam dengan membuang sampah merata-rata, mementingkan keuntungan sendiri, tidak membantu ketika diperlukan, tidak menghormati masa orang lain, menggunakan kemudahan awam secara berlebihan, mengambil hak orang lain dan banyak lagi.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan seseorang bersikap pentingkan diri. Antaranya ialah didikan keluarga yang kurang menekankan nilai empati dan tolak ansur.

Selain itu, pengaruh persekitaran yang terlalu menitikberatkan kejayaan individu juga boleh mendorong seseorang untuk mengutamakan kepentingan sendiri. Sikap tamak dan keinginan untuk memperoleh keuntungan tanpa memikirkan kesan kepada orang lain turut menjadi penyumbang kepada masalah ini.

Sikap pentingkan diri boleh membawa pelbagai kesan negatif. Dalam keluarga, sikap ini boleh menyebabkan hubungan menjadi renggang kerana kurangnya rasa hormat dan keprihatinan antara ahli keluarga. Di tempat kerja pula, individu yang mementingkan diri sendiri sukar bekerjasama dengan rakan sekerja, sekali gus menjejaskan produktiviti organisasi.

Dalam masyarakat, sikap ini boleh melemahkan semangat perpaduan dan gotong-royong. Apabila setiap individu hanya memikirkan kepentingan sendiri, usaha untuk membantu golongan yang memerlukan menjadi semakin berkurangan. Akibatnya, masyarakat menjadi kurang penyayang dan sukar mencapai keharmonian yang diimpikan.

Justeru, jauhilah sikap pentingkan diri kerana ia membawa banyak kesan negatif kepada individu, keluarga dan masyarakat. Sebaliknya, nilai seperti kerjasama, to­leransi dan keprihatinan perlu dipupuk agar keharmonian dapat dikekalkan.

Masyarakat yang saling mengambil berat antara satu sama lain akan lebih bersatu, aman dan mampu menghadapi cabaran bersama.

Imran Mohamad Nor ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

×