Kawalan sempadan diperketatkan - KPN

Kawalan sempadan diperketatkan – KPN

MOHD. Khalid Ismail bercakap pada akhbar selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2026 sempena Sambutan Hari Jadi Ke-77 Yang di-Pertua Negeri Melaka di Balai Istiadat Seri Negeri, Ayer Keroh, semalam. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Polis mengetatkan kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand ekoran siri letupan dan serangan keganasan yang berlaku serentak di beberapa lokasi di tiga wilayah selatan Thailand, malam Sabtu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail berkata, peningkatan kawalan itu sebagai langkah berjaga-jaga, khususnya bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia yang kerap melakukan perjalanan ke negara berkenaan.

Beliau pada masa sama menasihatkan rakyat Malaysia supaya mengurang atau menangguhkan perjalanan ke selatan Thailand buat sementara waktu, terutama dalam keadaan keselamatan yang masih tegang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada pandangan saya, dalam keadaan keselamatan yang agak tegang ini, lebih baiklah supaya rakyat kita ini mengurangkan pergerakan ke sana dan cuba mengelakkan pada waktu masa ini.

“Sebab keadaan suasana di sana itu begitu meruncing dan kita berdoa semoga semuanya dapat diselesaikan dengan baik dan sempadan kedud-dua negara diharap kekal aman dan tenteram,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2026 sempena Sambutan Hari Jadi Ke-77 Yang di-Pertua Negeri Melaka di Balai Istiadat Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini semalam.

Mohd. Khalid adalah antara 10 individu yang menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Sementara itu, Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, Pasukan Gerakan Am (PGA) sedia menggerakkan aset tambahan termasuk kenderaan perisai, dron dan pasukan khas untuk diatur gerak bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Katanya, PGA sentiasa peka terhadap perkembangan keselamatan di negara jiran dan bersiap siaga menghadapi sebarang cabaran.

“Keadaan di sempadan Kelantan-Thailand setakat ini selamat namun kawalan keselamatan terus dipertingkat sebagai langkah berjaga-jaga.

“Kawalan keselamatan sentiasa diperketat dan petugas barisan hadapan diingatkan supaya bersiap sedia serta berhati-hati ketika menjalankan tugas,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Siri serangan terbaharu itu berlaku pada malam 22 Ogos lalu di wilayah Yala, Pattani dan Narathiwat, membabitkan letupan bom, pembakaran serta serangan terhadap beberapa kemudahan awam dan premis.

Laporan terkini menyebut sebanyak 51 insiden, termasuk serangan menggunakan alat letupan buatan sendiri (IED), dilaporkan di tiga wilayah berkenaan.

Kesan letupan turut dirasai di sebelah Malaysia apabila penduduk di beberapa kawasan berhampiran sempadan di Kelantan, termasuk Pasir Mas dan Rantau Panjang, mendakwa mendengar bunyi letupan kuat sehingga menyebabkan rumah bergegar.

Di Sungai Golok, keadaan turut dilaporkan tegang apabila sekatan jalan raya dilaksanakan susulan letupan, menyebabkan sekurang-kurangnya seorang rakyat Malaysia yang berada di bandar berkenaan terkandas sementara menunggu keadaan kembali selamat dan laluan dibuka.

Mengulas kemungkinan laluan sempadan ditutup, Mohd. Khalid berkata, setakat ini tiada laluan ditutup oleh pihak Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN