Tangkap satu penagih sehari: Belum ada ketua balai polis alami tekanan, sahut cabaran-Ketua Polis Kelantan

Tangkap satu penagih sehari: Belum ada ketua balai polis alami tekanan, sahut cabaran-Ketua Polis Kelantan

MOHD. Yusoff Mamat (kiri) bersama pegawainya memeriksa pelbagai jenis dadah bernilai RM1.104 juta untuk pelupusan barang kes dadah Kontinjen Kelantan selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Polis Kelantan mendedahkan pihaknya belum menerima sebarang rungutan ketua balai polis seluruh negeri mengalami tekanan akibat pelaksanaan arahan menangkap seorang penagih sehari.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat sebaliknya berkata, ketua-ketua balai dilihat mampu menyahut cabaran yang ditetapkan tanpa menjejaskan pengurusan tugasan mereka.

“Saya tidak nampak ia satu tekanan. Setakat ini belum ada lagi saya terima (laporan) ada yang masuk hospital kerana darah tinggi atau tidak berselera makan.

“Maknanya masih dalam kawalan,” katanya kepada pemberita selepas sidang media pelupusan barang kes melibatkan dadah di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Utusan Malaysia 21 Julai lalu melaporkan, semua 56 ketua balai polis di seluruh negeri ini perlu menangkap seorang penagih setiap hari menerusi pelan strategik baharu membanteras dadah yang mula dilaksanakan sejak 15 Julai lalu bagi memastikan usaha membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah menjadi lebih berkesan melalui kaedah secara berfokus.

Mohd. Yusoff memberitahu, sepanjang tempoh 16 hari pelaksaan arahan itu bermula 15 hingga 31 Julai lalu, sebanyak 469 individu telah ditahan.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan tangkapan sehingga akhir Julai lalu, 394 dibuat oleh balai-balai polis, manakala 75 lagi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.

“Kenapa balai lebih? Sebab sehari bukan seorang yang ditangkap, ada tiga, lima dan sebagainya,” ujarnya.

Mohd. Yusoff berkata, walaupun pelaksanaan pendekatan itu baru memasuki fasa awal, pihaknya menerima maklum balas positif daripada masyarakat terhadap tindakan lebih agresif tersebut.

Mengulas mengenai pelupusan barang kes dadah, Mohd. Yusoff berkata, sebanyak RM1.1 juta bahan terlarang itu akan dimusnahkan dalam operasi tersebut.

Katanya, ia membabitkan 6,536 jenis barang kes yang disiasat bagi tempoh 2008 hingga 2024 melibatkan 16 jenis dadah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN