Jangan aniaya petani, pesawah

Jangan aniaya petani, pesawah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap kali bercakap mengenai keterjaminan makanan, petani dan pesawah sering disebut sebagai benteng terakhir negara. Mereka dikatakan wira yang memastikan sumber makanan seperti beras, sayur-sayuran dan pelbagai hasil pertanian tersedia untuk rakyat.

Namun, persoalannya, adakah penghargaan itu benar-benar ikhlas atau sekadar menanam tebu di bibir? Adakah diterjemahkan dalam bentuk bantuan yang sampai kepada mereka tepat pada masanya?

Isu kelewatan bekalan baja bukan perkara kecil. Bagi petani dan pesawah, baja yang tiba lewat bermakna mereka kena tanggung kerugian. Ia boleh menyebabkan jadual penanaman terganggu, pertumbuhan tanaman terjejas dan akhirnya hasil merosot.

Apabila hasil berkurangan, pendapatan turut terjejas. Sedangkan kos benih, racun, diesel, sewa jentera dan tenaga kerja terus meningkat. Sebab itu, jangan aniaya petani dan pesawah dengan kelemahan pengurusan yang mereka sendiri tidak mampu kawal.

Jika kerajaan memperuntukkan bantuan atau subsidi input pertanian, proses pengagihannya mesti dirancang dengan teliti. Petani tidak sepatutnya menjadi mangsa kelewatan birokrasi, masalah perolehan atau kelemahan koordinasi antara agensi.

Lebih mengecewakan apabila petani terpaksa berulang kali bertanya bila baja akan sampai, sedangkan musim tanaman tidak akan menunggu sesiapa.

Pertanian mempunyai kitaran masa yang jelas. Baja diperlukan ketika tanaman memerlukannya, bukannya apabila proses pentadbiran akhirnya selesai. Jika bantuan sampai selepas tempoh yang sepatutnya, persoalannya ialah apakah nilai bantuan tersebut kepada petani?

Kerajaan juga perlu melihat isu ini secara lebih menyeluruh. Masalah petani bukan hanya baja. Mereka berhadapan dengan harga input yang meningkat, kekurangan tenaga kerja, kos pengangkutan, akses kepada teknologi, pengairan dan saliran, pasaran hasil serta turun naik harga komoditi.

Dalam keadaan sebegini, setiap ringgit peruntukan kepada sektor pertanian mesti memberi kesan sebenar kepada penerima.

Jangan sampai peruntukan besar diumumkan, tetapi petani di lapangan masih mengeluh kerana bantuan tidak sampai, lambat atau proses mendapatkannya terlalu rumit.

Pada masa sama, kerajaan perlu memastikan sistem pemantauan lebih telus. Siapa menerima bantuan, bila bantuan diagihkan dan berapa jumlah yang sampai kepada petani perlu boleh dijejaki. Ketelusan bukan bermaksud membebankan petani dengan lebih banyak borang, sebaliknya memastikan bantuan benar-benar sampai kepada sasaran.

Petani dan pesawah tidak meminta layanan istimewa. Mereka hanya mahu sistem yang adil dan boleh dipercayai.

Jika negara mahu mengurangkan kebergantungan kepada makanan import dan memperkukuh sekuriti makanan, golongan yang menghasilkan makanan itu mesti terlebih dahulu diberikan keyakinan untuk terus bertani.

Jangan hanya memuji petani ketika harga makanan meningkat atau ketika negara berdepan ancaman bekalan. Hargailah mereka ketika mereka menanam, membaja, menuai dan menanggung segala risiko.

Kerana tanpa petani yang mampu bertahan, slogan keterjaminan makanan hanya akan tinggal slogan. Kita ada berpuluh mungkin beratus agensi berkaitan pertanian, tetapi hendak sampaikan sekampit baja kepada petani jenuh mengambil masa dan penuh dengan pelbagai kerenah.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

 

×